Thursday 16 July 2015

Rafizi nafi mengenali Lester Melanyi

RAFIZI: 'Rahman, saya tidak kenal Lester Melanyi' - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan dakwaan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengatakannya memberi arahan kepada Sarawak Report untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegasnya, pendedahan Rahman mengenai laporan polis yang dibuat oleh individu bernama Ramesh Rao Krishnan Naidu yang mengaitkan dirinya, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, ADUN Batu Lintang, See Chee How, Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah fitnah semata-mata.

"Saya tidak pernah kenal Lester Melanyi atau berhubung dengannya. Kali pertama saya tahu kewujudannya adalah apabila Abdul Rahman mendedahkan mengenai laporan polis tersebut.

"Saya tidak pernah memberi arahan kepada Sarawak Report apatah lagi memberi bahan untuk disiarkan oleh laman web itu.

"Saya tidak pernah berhubung atau berbincang dengan pengendali Sarawak Report, Clare Rewscastle Brown mengenai 1MDB. Sepanjang kerjaya saya, saya hanya pernah bekerjasama dengan Sarawak Report dalam satu kes iaitu skandal pembalakan di Sabah yang melibatkan sogokan RM40 juta yang didakwa melibatkan seorang bernama Michael Chia dan pimpinan kanan UMNO Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Rabu, Abdul Rahman mendedahkan penglibatan beberapa pemimpin pembangkang dalam sebuah video pengakuan seorang individu yang terlibat secara langsung dalam memalsukan fakta di dalam laporan portal Sarawak Report.
Tegasnya, pendedahan video itu memberitahu pemimpin pembangkang terbabit juga bersekongkol dengan Clare Brown dalam semua pemalsuan fakta berkaitan 1MDB serta Najib.

Dalam pada itu kata Rafizi, kesemua perkara yang dibawa mengenai 1MDB adalah berdasarkan laporan akhbar dalam dan luar negara dan semua soalan-soalannya di Parlimen.

"Laporan polis oleh Ramesh Rao Krishnan Naidu ini adalah satu konspirasi jahat untuk cuba menutup isu 1MDB dengan memberi gambaran kononnya ia direka oleh pimpinan pembangkang sedangkan sebahagian besar pendedahan saya dan Tony adalah dari Parlimen.

"Saya yakin konspirasi ini tidak akan berjaya kerana skandal 1MDB ini terlalu besar dan faktanya terlalu jelas untuk ditutup. Apakah selepas ini Datuk Rahman Dahlan akan membuat satu lagi pendedahan kononnya saya juga mempunyai kuasa mengarahkan Asian Wall Street Journal (AWSJ) untuk menulis mengenai 1MDB?" soalnya. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment