Sunday, 12 July 2015

Perit: Gaji RM15 sehari sara tujuh anak

Azuhan (kiri) bersama ahli Alteras yang lain membaiki rumah Sharaini yang hampir runtuh akibat dihempap pokok kelapa.

PASIR MAS - Berbekalkan duit gaji harian berjumlah RM15 sebagai pembantu kedai makan, seorang ibu tunggal terpaksa berjimat untuk membesarkan tujuh anak yang berumur lingkungan 22 hingga 9 tahun.

Sharaini Ismail, 43, berkata, selepas kematian suami sejak lapan tahun lalu, dia sekeluarga terpaksa mengikat perut untuk meneruskan hidup.

“Saya perlu pastikan mereka semua tidak kelaparan, lebih-lebih lagi ketika itu tujuh anak saya masih bersekolah.

“Disebabkan masalah kewangan, anak kedua saya (Norfatin Rohaimi, 20) yang sedang belajar di sebuah kolej di Kuala Lumpur terpaksa berhenti kerana tak mampu untuk bayar yuran,” katanya.

Menurutnya, selain masalah kewangan, mereka sekeluarga diuji sekali lagi apabila rumah peninggalan orang tua yang menjadi tempat berteduh lebih 22 tahun roboh dihempap sebatang pokok kelapa Jumaat lalu semasa ribut kuat.

Sharaini berkata, rumah yang mempunyai satu bilik itu bukan sahaja uzur tetapi bumbungnya juga bocor dan ia bertambah teruk apabila dilanda ribut.

“Pada awalnya saya hanya mampu berputih mata sahaja lihat keadaan rumah yang semakin teruk, tetapi alhamdulillah masih ada rezeki kami anak beranak apabila ada badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membaiki kerosakan.

“Bantuan ini bagaikan mimpi dan rezeki Ramadan kerana saya tak pernah sangka ada pihak sudi membantu,” katanya.

Terdahulu, keluarga Sharaini mendapat perhatian Pertubuhan Amal Teras Insaniah Malaysia (Alteras) yang diwakili Penasihat Agungnya, Azuhan Ibrahim.

Azuhan berkata, pihaknya sangat tersentuh dengan nasib yang dialami Sharaini dan anak-anak yang hidup dalam serba kekurangan.

“Oleh sebab itu kami bergotong-royong membaiki dinding rumah yang runtuh, bilik air, bahagian hadapan rumah serta buat sebuah bilik untuk anak lelakinya.

“Selain itu kami turut menyumbangkan barang makanan dan dapur gas menggantikan dapurnya yang sudah lama rosak,” katanya.

Beliau berkata, diharap dengan bantuan ini dapat menggembirakan mereka sekeluarga dalam menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment