Sunday 12 July 2015

Nombor akaun yang bercerita

Adam A Kadir

DALAM ruangan ini pada minggu lepas, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman disebutkan berkata bahawa Tun Dr Mahathir melakukan ‘penggugatan’ (undermine), ‘tipu dan muslihat’ (lies and distortions), ‘tuntutan peribadi’ (personal demands), ‘cuai dan tidak berasas’ (reckless and baseless), melalui suratnya kepada New York Times (NYT), akhbar dunia yang berwibawa.

Rakyat mahu tahu di manakah letaknya penyifatan-penyifatan itu pada dakwaan Dr M tentang 1MDB dan segala yang berkaitan dengannya.

Untuk itu, saya perturunkan dengan bahasa jelas kenyataan Dr M yang dibuat pada 29 Jun lepas. Sehingga tulisan ini dibuat, jawapan daripada Anifah belum saya terima untuk diberikan layanan sama dalam ruangan ini seperti diberikan kepada Dr M pada minggu lepas, demi kepentingan awam. 

Satu hal yang kita patut bersikap wajar ialah apabila kita menulis kepada sebuah akhbar seperti NYT, kita tidak patut menganggapnya seperti mana-mana akhbar di negara kita, lebih-lebih lagi akhbar-akhbar yang dipanggil arus perdana yang rata-rata dimiliki oleh parti-parti komponen kerajaan.

Di New York khususnya dan AS umumnya, kebebasan media dijaga rapi. Sebarang tindakan yang boleh menjejaskannya mendapat kecaman hebat, sering diikuti dengan tindakan demonstrasi.

Jumlah undi boleh terjejas dan boleh menentukan kalah-menang dalam pilihan raya.

Pihak yang sensitif, dipanggil ‘kulit nipis’ (thin skin), dimomokkan sebagai pihak yang tidak layak menjadi tokoh awam.

Justeru akhbar seperti NYT hanya bergantung pada kekuatan butiran, hujah dan fakta berbukti, bukan seperti penyifatan-penyifatan di atas. 

Cuba kita tengok nasib tiga Presiden AS terakhir. Presiden Clinton terpaksa menghadapi tindakan mahkamah yang berpanjangan kerana semasa menjadi Gabenor Arkansas, isterinya meminjam $300,000 dari sebuah bank untuk membuat sebuah projek kecil dipanggil ‘Whitewater’.

Kes itu hanya selesai ketika beliau menduduki kerusi Presiden AS. Isterinya Hillary didapati tidak bersalah. Pinjaman itu didapati bukan kerana pengaruh suaminya sebagai gabenor. Moralnya: kes itu dibawa ke mahkamah walaupun beliau ketua kerajaan; jumlah wang pula tidak mencecah juta atau bilion. 

Kiranya kalah dalam kes itu, beliau mungkin terpaksa meletak jawatan seperti yang dialami Presiden Nixon pada tahun 1974, apabila beliau didapati bersubahat menutup rahsia pekerja partinya, Republikan, menggeledah pejabat parti lawan, Demokrat, untuk mendapatkan maklumat tertentu. 

Presiden Bush (yang kedua) pula diketahui mengelak diri dari bertugas dalam perang Vietnam atas pengaruh bapanya sebagai ketua CIA (kemudiannya menjadi Presiden AS). Beliau juga didakwa mendapat layanan istimewa sebagai seorang bisnes, justeru menjadi kaya-raya dalam jangka pendek.

Kedua-dua perkara itu dikerobek habis-habisan di media dan forum awam. Akhirnya beliau diterima oleh rakyat. Memang benar beliau membuat kesilapan, tetapi tidak begitu besar sehingga boleh menahan beliau daripada menyertai perlumbaan secara demokrasi untuk memenangi White House.

Moralnya: tokoh awam harus bersikap terbuka dari segi maklumat dan rekod. Biar diperkatakan habis-habisan oleh rakyat tanpa diganggu-gugat oleh kedudukan atau kuasa. 

Presiden Obama juga dituduh sengaja hendak mengagungkan diri dengan guna banyak wang rakyat untuk projek kesihatan ‘Obama care’.

Latar belakang beliau juga dikorek: kononnya seorang penyangak kulit hitam di Chicago; seorang luar nikah yang lahir di luar AS, justeru tidak layak menjadi presiden.

Segalanya itu diurai dan dijelaskan satu persatu, tanpa tekanan dari kuasanya. 

Artikel lepas, saya mengandaikan IPIC dimiliki Petronas memandangkan istilah ‘petroleum’ dipakai dalam namanya itu. IPIC, menurut sumber percayai, dimiliki satu pihak di Abu Dhabi.

IPIC diberitakan berperanan besar dalam pemindahan dan pembayaran wang berjuta-juta dalam saga 1MDB yang diragui Dr M.

Ini ekoran pendedahan sebuah media internet mengutip laporan Wall Street Journal (WSJ), sebuah lagi akhbar New York yang sama kewibawaannya dengan NYT. 

Lanjutan dari itu, wang besar dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun kepunyaan Datuk Najib di Ambank. Nombor-nombor akaun itu juga diberikan.

Menjawabnya, Najib mengatakan beliau tidak menggunakan wang untuk maksud peribadi. Peguam Negara pula menegaskan, akaun-akaun yang dibekukan bukan milik Najib. Nyata tidak wujud keselarian antara kata-kata Dr M dengan kata-kata PM dan Peguam Negara.

Namun rakyat tetap mahu tahu kedudukan sebenar. Jika akaun-akaun peribadi PM menjadi terbuka, dan PM di pihak yang benar, dengan sendirinya Dr M tercemar di mata rakyat. Teladan ketelusan presiden-presiden AS itu, selaku manusia paling berkuasa dalam dunia, wajar diikuti. 

-----------------------------------------------------------------------------
* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat
- disiarkan di Sinar Harian | 11 Julai 2015

No comments:

Post a Comment