Tuesday 28 July 2015

'Jelaskan pemecatan Gani Patail, ikut Perlembagaan Persekutuan atau tidak'

Abdul Gani dalam satu kenyataan kepada Malay Mail Online dipetik berkata tidak tahu-menahu tentang pengumuman mengenai jawatannya yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjelaskan pemecatan Tan Sri Abdul Gani Patail daripada jawatan Peguam Negara -- apakah dibuat secara sah mengikut Perlembagaan Persekutuan -- kerana ia mempunyai kesan besar termasuk menjejaskan kebebasan institusi kehakiman itu, kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

"Ini perkara yang serius," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Gobind, Artikel 145(6) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan seseorang Peguam Negara tidak boleh dipecat daripada jawatannya kecuali "atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan."

Pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan dijelaskan pula melalui Artikel 125(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu melalui sebuah tribunal yang anggota-anggotanya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Penubuhan tribunal itu pula adalah atas syor Perdana Menteri kepada Seri Paduka. Pemecatan tersebut boleh dilakukan atas alasan seseorang hakim itu tidak lagi mampu menjalankan fungsi jawatannya "oleh sebab kelemahan tubuh atau akal atau sebab-sebab lain".

Menurut Gobind, daripada peruntukan itu sebuah tribunal diperlukan untuk menentukan apakah Peguam Negara harus dipecat dan khidmatnya tidak boleh dihentikan begitu saja.

"Kedudukan itu jadi lebih ganjil kini apabila Tan Sri Gani Patail dilaporkan berkata beliau tidak tahu tentang pemecatannya," kata peguam itu.

Abdul Gani dalam satu kenyataan kepada Malay Mail Online dipetik berkata tidak tahu-menahu tentang pengumuman mengenai jawatannya yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Gobind berkata pemecatan Abdul Gani tidak sah dari segi perlembagaan, ia hendaklah dibetulkan. Jika tidak, katanya, ia boleh menjejaskan sistem keadilan jenayah. - Gambar Fail

Tegas Gobind, sebagai orang yang mempunyai kuasa penuh untuk memulakan pendakwaan jenayah di mahkamah, seorang Peguam Negara mesti ada perlindungan ke atas kedudukan jawatannya bagi membolehkan beliau menjalankan tugas tanpa gentar atau memihak.

"Dalam kes ini, Tan Sri Gani Patail juga adalah anggota Pasukan Petugas Khas yang menyiasat perkara berkaitan 1MDB dan Perdana Menteri. Jadi bagaimanakah beliau boleh dipecat begitu saja?" tanya Gobind.

Jelas Pengerusi Biro Undang-Undang DAP itu, sekiranya pemecatan Abdul Gani tidak sah dari segi perlembagaan, ia hendaklah dibetulkan. Jika tidak, katanya, ia boleh menjejaskan sistem keadilan jenayah.

Dalam nada sama, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar turut meminta Perdana Menteri menjawab persoalan ini dengan segera kerana Abdul Gani diketahui akan bersara wajib pada awal Oktober ini.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment