Tuesday 28 July 2015

Angkatan Star Wars 'ceroboh' Malaysia

Karya seorang jurugambar tempatan menampilkan watak popular Star Wars 'menceroboh' masuk ke Malaysia mendapat perhatian ramai.

Karya seorang jurugambar tempatan yang menampilkan watak dan objek popular dari filem Star Wars berada di Malaysia mendapat perhatian ramai.

Jurugambar, Zahir Batin mengabadikan elemen-eleman dari siri filem Star Wars bersama dengan permandangan kampung indah di Selangor.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Zahir memaklumkan koleksi gambar itu diberi nama 'The Intruder' dan dimuat naik di laman sesawangnya pada Mac tahun lalu.

Kredit gambar: Zahirphotowork

“Pada mulanya saya wujudkan laman ini sebagai rujukan. Membuka peluang kepada orang ramai melihat karya saya bukanlah sekadar hobi semata dan boleh dianggap sebagai sesuatu yang serius.

“Saya memang meminati siri filem Star Wars, malah memiliki lebih 100 koleksi figura aksi, kapal angkasa dan beberapa lightsaber,” jelasnya.

Tidak bergantung pada penambahbaikan digital sahaja, beliau turut menggunakan figura aksi dan kolektibel dari siri filem rekaan George Lucas itu bagi mendapatkan lebih impak.

Kredit gambar: Zahirphotowork

Zahir berkata idea untuk menggabungkan dua elemen ini datang secara spontan dan didorong oleh perasaan ingin tahu.

Menurut beliau semua foto dirakam di sekitar kawasan rumahnya yang terletak di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

“Lazimnya saya tangkap gambar pada waktu pagi atau lewat petang untuk mendapatkan pencahayaan yang baik. Kebanyakan masa dihabiskan untuk menyusun figura aksi selain proses suntingan,” tambah Zahir lagi.

Kredit gambar: Zahirphotowork
Latar tersebut perlu disesuaikan dengan koleksi figura lantaran ideologi ‘Star Wars menakluk kampung’ tidak pernah dilakukan oleh mana-mana penggiat seni.

Paparan gambaran nyata dicapai dengan suntingan yang mengimbangi cahaya dan bayang-bayang.

Strormtrooper, T.I.E starfighter, X-Wing, AT-AT dan Ewok adalah antara karekter popular Star Wars yang dimasukkan dalam koleksi The Intruder.

Kredit gambar: Zahirphotowork

Apabila ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Zahir tidak bercadang untuk memulakan koleksi portfolio siri sains fiksyen lain berikutan masih mempunyai banyak idea untuk siri Star Wars.

“Masih banyak lagi koleksi yang belum saya tampilkan, jadi saya tidak mempunyai perancangan untuk siri lain pada masa ini,” ujarnya.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment