Thursday, 18 June 2015

Tidak benar DUN Selangor akan dibubar - Azmin



Ura-ura bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor akan dibubarkan adalah tidak benar dan tidak berasas kata Menteri Besar Selangor, Azmin Ali. - Gambar Fail

SHAH ALAM: Ura-ura bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor akan dibubarkan adalah tidak benar dan tidak berasas kata Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.

Azmin yang ditemui selepas majlis mengagihkan bubur lambuk dan kurma di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam sempena Ramadan petang tadi, diminta mengulas mengenai situasi politik di negeri itu sekaligus menolak dakwaan bahawa perkara itu kemungkinan berlaku.

Sementara itu merujuk kepada kenyataan bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar yang meminta agar beliau memilih antara kerjasama dengan DAP atau PAS selain mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri Selangor dibubarkan, Azmin berkata itu merupakan isu lama.

"Rujuk kepada kenyataan terkini presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah," kata Azmin.

Pada Rabu, Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan mengatakan bahawa Pakatan Rakyat kini tidak mampu berfungsi secara formal selepas mengambil kira situasi politik semasa.

Wan Azizah merujuk kepada krisis politik yang semakin hangat susulan tindakan Muktamar PAS yang baru berlalu meluluskan resolusi agar parti itu memutuskan hubungan dengan DAP setelah DAP secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi kerana mendakwa pemimpin PAS itu tidak berbincang dengan anggota PR lain mengenai rancangannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

PAS pula mendakwa para pemimpin DAP menyerang kepimpinan Abdul Hadi dan ini mendorong parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Guan Eng juga menyebut beberapa peristiwa besar sebelum ini, termasuk krisis Menteri Besar Selangor dan keputusan yang dicapai dalam Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat, yang telah dicabuli Abdul Hadi hingga menyebabkan pakatan itu hampir lumpuh.

Beliau bagaimanapun berkata DAP akan terus bekerjasama dengan PKR dan pihak lain bagi menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment