Thursday 18 June 2015

Mat Sabu cadang tubuh parti baharu, kekal kerjasama dengan DAP

MAT SABU: Jalinan kerjasama dengan DAP dan PKR akan diteruskan biarpun DAP sudah mengumumkan Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud. -Gambar fail

MUAR: Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama barisan kepimpinan parti yang tewas pada pemilihan sempena muktamar lalu bercadang untuk menubuhkan parti baharu.

Mohamad Sabu berkata, cadangan sama ada untuk menubuhkan parti atau sekadar menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagaimanapun akan dibuat berdasarkan sokongan rakyat kepada mereka.

Yang pastinya, beliau berkata, jalinan kerjasama dengan DAP dan PKR akan diteruskan biarpun DAP sudah mengumumkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

“Soal parti baharu ini kami belum muktamad. Sekarang kami bergerak untuk melihat sokongan rakyat dahulu. Mungkin kita ambil masa sebulan dua untuk melihat momentumnya.

“Kita ada berbagai pilihan, sama ada NGO parti politik sedia ada atau menubuhkan parti baharu,” kata Mohamad Sabu yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu.

Beliau berkata kepada media selepas memberikan ucapan dalam majlis perjumpaan 13 bekas pemimpin PAS pusat di Markas PAS Bakri, Muar malam tadi.

Mat Sabu bercadang membuat siri jelajah seluruh negara bagi menjelaskan bahawa beliau akan terus bekerjasama dengan DAP walaupun parti itu tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam menolak kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“(Daripada segi) hubungan dengan DAP, PKR dan NGO, kami akan terus bergabung dengan semua pihak yang ada cita-cita untuk menukar pemerintah sekarang,” kata Mat Sabu.

Menurut Mat Sabu, program di Bakri malam tadi merupakan gelombang pertama anjuran kumpulan progresif dalam PAS itu sebelum ia diteruskan pada program di negeri-negeri lain.

Antara yang dijadualkan ialah program di Pahang pada 26 Jun depan.

"Saya yakin muafakat politik kali ini, dia akan bermula di selatan, dia akan naik ke utara. Johor menjadi tapak bermulanya perjuangan era baharu di Malaysia ini.

"Kami akan mencari wadah dan wadah itu sebagai vehicle (kenderaan) dan tujuannya kita membela rakyat, menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran," katanya.

Sementara itu, ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli senada dengan Mohamad dan menyatakan akan terus berjuang membina negara biarpun tidak berjawatan.

"Kita akan melangkah ke depan, kerana pembinaan negara tidak akan berhenti hanya kerana kami tidak lagi dalam jawatankuasa pusat," katanya.

Seorang lagi bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin, pula membayangkan penubuhan parti baharu dengan berkata beliau kekal memperjuangkan sebuah parti Islam yang bertolak ansur dengan perbezaan dalam parti.

"Sebab itulah, sama ada melalui apa-apa 'wadah' sekalipun kita akan terus membawa Islam yang rahmatan lil alamin (rahmat kepada seluruh alam), Islam yang bersedia menerima dialog, Islam yang bersedia menerima apa-apa sahaja kritikan dan bersedia menjawab kritikan itu.

"Saya harap kita akan terus istiqamah dalam apa-apa sahaja 'wadah'.

"Yang penting kita mahu membentuk Malaysia baharu yang tidak melupakan agama tetapi boleh berbincang dan berdialog," kata beliau yang juga ahli parlimen Sepang.

Semalam, Jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada mesyuaratnya mencapai kata sepakat dan
mengisytiharkan bahawa Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti itu, bersama PKR dan PAS sudah tidak lagi wujud.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata keputusan yang dibuat pada muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu.

“Oleh kerana Pakatan Rakyat dibentuk oleh tiga parti berkenaan berdasarkan konsensus dan terikat dengan rangka kerja polisi bersama, usul muktamar PAS itu jelas telah membunuh Pakatan Rakyat. Oleh itu Pakatan Rakyat tidak lagi wujud," kata Lim dalam satu kenyataan Selasa.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment