Pihak berkuasa belum dapat mengetahui punca pesawat itu hilang kawalan lalu terhempas mahupun jumlah korban, namun usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan. - Foto EPA
MEDAN: Sejumlah 20 orang telah disahkan terkorban dalam nahas pesawat Hercules milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang jatuh terhempas di perkampungan di Simalingkar, Medan, Sumatera Utara pada Selasa.
Terdahulu, Ketua Polis Medan Mardiaz Dwihananto menegsahkan tentang penemuan beberapa mayat yang dikeluarkan dari bangkai pesawat dan dari bawah runtuhan bangunan di kawasan nahas.
Lokasi pesawat itu jatuh terhempas tidak jauh daripada Pangkalan Udara Soewondo atau dahulunya dikenali sebagai Lapangan Terbang Polonia Medan, lapor portal berita negara itu.
Pesawat itu berangkat pada jam 12.08 tengah hari waktu tempatan dari pangkalan udara berkenaan dan terhempas dua minit kemudian selepas melalui jarak lima kilometer.
“Pesawat berkenaan digunakan dalam urusan logistik TNI. Belum dipastikan berapakah jumlah mangsa. Selain juruterbang, pesawat itu turut membawa kru lain,” kata jurucakap tentera Fuad Basya.
Setakat ini gambar mengenai kemalangan itu banyak disebarkan ke media sosial, termasuk yang menunjukkan fiuslaj pesawat yang masih terbakar dan menyelubungi kawasan sekitar dengan asap hitam. Beberapa bangunan di kawasan nahas juga musnah.
Pihak berkuasa belum dapat mengetahui punca pesawat itu hilang kawalan lalu terhempas mahupun jumlah korban, namun usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan.
Seorang saksi di tempat kejadian juga memberitahu dia melihat sendiri bagaimana pesawat itu jatuh menjunam lalu memusnahkan beberapa buah rumah di kampung tersebut.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment