Tuesday, 30 June 2015

Kebakaran bateri lithium-ion dikatakan punca MH370 terhempas

KUALA LUMPUR: Dianggap sebagai antara teori terbaru mengenai MH370, seorang juruterbang Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan berkata, asap toksik kebakaran yang disebabkan bateri litium-ion ketika penerbangan berkemungkinan menyebabkan pesawat itu terhempas di selatan Lautan Hindi.

Dalam analisis terkini yang disiarkan melalui laman webnya, www.mh370site.com, Bruce Robertson, berkata bateri mencetuskan kebakaran dalam kargo, menyebabkan ruang kabin pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu dipenuhi dengan karbon monoksida.

Ini menyebabkan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid terpaksa membawa pesawat berkenaan berlegar-legar di ruang udara dan berada pada kedudukan rendah untuk melakukan pendaratan kecemasan.

Bagaimanapun, Robertson mengandaikan Fariq terpaksa tunduk akibat asap kebakaran, menyebabkan pesawat terus terbang secara autopilot selama beberapa jam.

Beliau berkata, pesawat itu kemungkinan mengambil selekoh kiri pada radius yang besar sebelum terhempas ke laut, barat Exmouth di negeri Australia Barat, kira-kira 21 darjah ke selatan dan 103 darjah ke timur.

Robertson berkata, pasukan mencari memeriksa di lokasi yang salah apabila zon carian terkini menjangkau ke kawasan barat daya, ke barat Perth.

"Terlalu banyak masa dan wang telah dibazirkan pada pencarian yang sia-sia," katanya. 

Penerbangan MH370 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing apabila ia hilang dari radar pada 8 Mac 2014. Tiada kesan ditemui walaupun operasi mencari paling luas dalam sejarah penerbangan. 

Semua 227 penumpang dan 12 anak kapal dianggap meninggal dunia selepas pengisytiharan rasmi kerajaan Malaysia pada 29 Januari, mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kemalangan berdasarkan peraturan penerbangan antarabangsa.

Pada 24 Jun, Go Phoenix satu daripada tiga kapal yang terbabit dalam pencarian MH370 menghentikan operasi selepas kontraknya berakhir.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang menyelia operasi carian berkata, dua kapal lagi, Fugro Discovery dan Fugro Equator, akan kembali ke kawasan carian selepas menambah bekalan. 

Sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata fasa pertama misi carian akan dimuktamadkan pada akhir bulan ini.

"Jika kita masih tidak menemui sebarang kesan, Malaysia komited untuk teruskan fasa kedua bulan depan bersama JACC, sebuah badan induk yang ditubuhkan bersama oleh Malaysia, China dan Australia," katanya. 

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment