Tuesday 30 June 2015

GrabCar kacau periuk nasi kami- Pemandu teksi



Perkhidmatan tersebut didakwa menjejaskan pendapatan pemandu teksi bertauliah dan mewujudkan ketidak adilan dalam industri perkhidmatan teksi di Malaysia.

SUBANG JAYA: Lebih 100 pemandu teksi sekitar Lembah Klang mengadakan perhimpunanhari ini bagi membantah kewujudan perkhidmatan GrabCar yang diperkenalkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan teksi atas talian, MyTeksi.

Ia kerana perkhidmatan tersebut didakwa menjejaskan pendapatan pemandu teksi bertauliah dan mewujudkan ketidak adilan dalam industri perkhidmatan teksi di Malaysia.

“Ini tidak adil."

“Kami bersusah payah mendapatkan lesen khas, kad pemandu tetapi mereka dengan senang dapat menjadi ‘pemandu teksi’ hanya kerana menggunakan aplikasi GrabCar ini," tegas Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Subang Jaya, S. Mathavan.

Perkhidmatan GrabCar membolehkan sesiapa sahaja menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar penumpang ke mana-mana destinasi dikehendaki dengan hanya menggunakan kereta biasa, sama ada milik persendirian atau sebagainya.

GrabCar juga tidak memerlukan pemandunya memiliki lesen memandu vokasional, permit memandu teksi untuk berbuat demikian.

Kereta yang digunakan juga tidak perlu melalui pemeriksaan dan mendapat pengesahan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Penumpang akan terdedah kepada pelbagai risiko kerana pemandu dan kereta yang digunakan juga tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Ada juga daripada kalangan pemandu GrabCar ini merupakan pemandu teksi yang telah ditarik lesen dan permit memandu teksi atas kesalahan jalanraya dan jenayah. Jadi tiada jaminan keselamatan untuk pada penumpang," katanya.

Perhimpunan disertai penyerahan memorandum bantahan kepada pihak MyTeksi dengan harapan gesaan mereka dapat memberikan tekanan kepada MyTeksi untuk memansuhkan perkhidmatan GrabCar.

Katanya, penyerahan memorandum dibuat selepas kecewa dengan pihak berkuasa yang didakwa tidak mengendahkan aduan yang dibuat sebelum ini.

“Kami dah kemukakan aduan beberapa kali kepada SPAD. Namun jawapan sama diberikan iaitu arahan kepada penguatkuasa akan dikeluarkan untuk mengambil tindakan susulan.

“Sampai sekarang tiada tindakan kami lihat, malah diberi pula alasan hal tersebut bukan di bawah bidang kuasa SPAD," jelasnya.

Rata-rata mereka merupakan pemandu yang dahulunya bernaung di bawah aplikasi MyTeksi.

Bagaimanapun atas rasa kecewa dengan MyTeksi yang tidak mengambil pandangan para pemandu teksi terlebih dahulu sebelum memperkenalkan GrabCar, mereka mengambil keputusan untuk memboikot aplikasi perkhidmatan itu selama tujuh hari bermula Isnin.

“Sekiranya gesaan ini tidak dipedulikan, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih besar bagi menjaga periuk nasi pemandu teksi," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain berkata, mana-mana persatuan yang berjuang bagi menjaga hak pemandu teksi sentiasa disokong.

“Kami kecewa dengan SPAD yang seolah-olah tidak mempedulikan nasib pemandu teksi dengan membiarkan perkara ini terus berlaku.

“Mereka (MyTeksi) wujudkan GrabCar kononnya untuk memberi saingan kepada kewujudan aplikasi teksi atas talian seperti Uber dan sebagainya, tapi mereka tidak sedar bahawa ia memberi kesan kepada aktiviti kami yang telah dijalankan sejak sekian lama," jelasnya.

Menurut Kamarudin, kerajaan sebelum ini telah menyarankan pemandu teksi untuk menaik taraf perkhidmatan selain memperkasa industri teksi dengan memperkenalkan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1M).

“Tapi apabila perkhidmatan sebegini dibiarkan kewujudannya, bagaimana saranan tersebut hendak mencapai matlamatnya?

“Kami bukan berniat mahu membelakangi kerajaan, tetapi tidak mustahil kami bertindak demikian kerana terpaksa apabila tiada siapa yang ingin menjaga hak kami sebagai pemandu teksi," katanya. 

No comments:

Post a Comment