Monday 6 April 2015

Tahanan baca sesuatu, saya rasa macam tidak kena

Chandkumary bersama peguamnya keluar selepas prosiding mahkamah hari ini.

GEORGETOWN - "Dia sebut sesuatu yang tidak difahami sambil memandang tepat ke arah mata saya sehingga rasa sesuatu yang tidak kena berlaku kepada diri saya sehingga berada dalam kabur beberapa jam sehingga K Prabaharan meloloskan diri".

Asisten Superintendan L Chandkumary, 58, mendakwa demikian ketika memberi keterangan bersumpah dari kadang saksi ketika membela diri di mahkamah majistret di sini hari ini.

Menurutnya, niat untuk membantu Prabaharan mendapatkan tarikh baharu sebutan kes menjadi puncanya beliau mengadakan pertemuan dengan tertuduh di pejabatnya.

"Sehari sebelum itu iaitu 8 Oktober, kes tertuduh disebut di mahkamah majistret di sini dan saya ketika itu memegang jawatan selepas pegawai bertugas di mahkamah menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa anak tertuduh.

"Wanita itu meminta tolong saya agar sebutan kes bapanya pada 9 Oktober 2013 ditunda ke petang kerana mempunyai kes lain di mahkamah majistret di Cameron Highland, Pahang. Dia juga memaklumkan hasratnya untuk menguruskan jaminan agar bapanya dilepaskan sebelum sambutan Deepavali.

"Tetapi saya memberitahu tidak dapat berbuat apa-apa dalam hal ini dan meminta tertuduh hadir ke mahkamah untuk urusan berkenaan,"katanya.

Chandkumary mendakwa pada 9 Oktober 2013, kira-kira jam 10.40 pagi, menerima panggilan daripada tertuduh yang meminta bantuannya untuk mendapat tarikh sebutan kes pada waktu petang menggunakan telefon bimbit anggota polis pengiring.

"Saya menyemak dan mendapati tertuduh mempunyai kes di mahkamah majistret 3. Selepas itu, saya bercakap dengan anggota polis yang memaklumkan mereka dalam perjalanan ke Penjara Pulau Pinang.

"Kira-kira jam 1 petang, tahanan menghubungi sekali lagi dan memaklumkan sudah berada di Pulau Pinang. Kemudian telefon bimbit itu diserahkan kepada sarjan polis yang mengiringinya. Sarjan itu memberitahu boleh membawa tertuduh ke mahkamah dan saya memintanya datang ke mahkamah sebelum jam 2 petang," katanya.

Beliau berkata niatnya adalah untuk membantu tertuduh mendapatkan tarikh baharu bagi sebutan kes kali kedua pada sebelah petang.

"Saya memanggil anggota polis mahkamah yang bertugas untuk membawa tertuduh mendapatkan tarikh baharu kerana tarikh ditetapkan mahkamah ialah sebelah pagi tetapi mempunyai kes lain.

"Sebaik tiba ke mahkamah, saya meminta seorang anggota polis mahkamah menemani dua polis pengiring untuk makan tengah hari sambil menghulurkan RM50 kerana mereka datang dari jauh," katanya.

Chandkumary yang berkhidmat 33 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendakwa ketika bersama tertuduh di pejabatnya, lelaki itu memberitahu mahu membayar jaminan sebelum Deepavali, tetapi wang tidak cukup.

"Ketika saya meminta butiran kes, tertuduh meminta saya untuk membawanya berjumpa kawannya yang berada di Pulau Pinang tetapi tidak tahu alamat dan nombor telefon tetapi hanya tahu lokasi rumahnya.

"Walaupun diminta beberapa kali, saya tidak mengendahkannya dan tidak boleh membantu kerana tidak mempunyai kenderaan rasmi dan pengiring. Susulan itu, tertuduh kelihatan menyebut sesuatu yang tidak difahami dan memandang ke arah mata saya.

"Ketika itu,rasa badan menjadi lemah dan kepala menjadi berat. Saya hanya mendengar suara tertuduh yang meminta dibawa keluar. Saya rasa seolah-olah diminta memanggil seorang anggota polis untuk menemani tertuduh ke kereta dan duduk di bahagian belakang kereta," katanya.

Wanita itu mendakwa kira-kira jam 3 petang, baharu tersedar dan mendapati kereta berada di tepi jalan ketika itu dan masih memakai uniform yang lengkap.

"Saya mendapati telefon bimbit dan kad kuasa saya hilang. Saya tidak boleh mengingati semula apa yang berlaku terhadap diri saya. Saya menelefon anggota polis yang menemani polis pengiring untuk makan tengah hari selepas mendapati tahanan itu hilang.

"Dalam keadaan tidak tahu apa yang berlaku, saya memaklumkan insiden itu kepada pegawai atasan saya dan diminta untuk membuat laporan.

"Laporan yang saya buat adalah berdasarkan apa yang saya ingat. Saya tidak berapa normal selepas insiden itu dan susah mengingati semula apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

Pada 21 Oktober 2013, Chandkumary didakwa atas dua tuduhan iaitu sengaja melepaskan tahanan K Prabaharan, ketika itu berusia 45 tahun, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada jam 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah Georgetown pada 9 Oktober 2013 mengikut Seksyen 225A (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada jam 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu mengikut Seksyen 182 kanun sama memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chandkumary dibantu oleh peguam Danny C Navarednam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Talib.

Majistret Diannee Ningrad Nor Azahar menetapkan kes disambung bicara pada 27 April ini.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment