Monday 20 April 2015

Pulangan tuaian harumanis bernilai RM60j

Zulkepli (kiri) bersama pegawai Jabatan Pertanian menunjukkan harumanis yang belum matang kepada Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Bakri Ali.

KANGAR - Perlis bakal memperoleh pulangan sebanyak RM60 juta hasil pengeluaran 3200 metrik tan mempelam harumanis pada musim ini berbanding RM25 juta tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Jusoh berkata, peningkatan itu berlaku apabila terdapat lebih 1,000 pengusaha dapat menuai hasil di ladang seluas 550 hektar di negeri ini.

Menurutnya, jumlah itu sangat memberangsangkan walaupun tuaian harumanis musim ini lewat 16 hari akibat bencana banjir yang melanda Perlis pada penghujung tahun lalu.

“Sepatutnya pada 14 April lalu kita sudah dapat tuai buah-buah ini tetapi akibat berlakunya banjir kita hanya akan memetiknya pada awal bulan depan .

“Kesemua buah harumanis ini akan dijual dengan harga RM20 sekilogram (1kg) bagi gred A iaitu bagi buah yang seberat 350gram (g) sebiji ke atas manakala RM18 bagi gred B berat bawah 350g dan bagi sub gred iaitu buah yang sedikit rosak atau lebam harganya dijual bawah RM18 kg,” katanya ketika ditemui di Ladang Harumanis Jabatan Pertanian Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat, semalam.

Zulkepli berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyelaraskan harga harumanis dan ia bergantung kepada penjual menetapkan harga masing-masing.

“Jika mereka jual dengan harga RM30 sekilogram pun kita tak boleh buat apa tetapi biarlah buah yang dijual itu sepadan dengan kualitinya. Kalau buah tak elok atau tak manis ia akan menjejaskan nama negeri ini.

“Jadi penjual diminta berhati-hati semasa menjual buah ini nanti dan pastikan buah yang dijual bukan buah yang dicuri kerana pihak kami mempunyai alat yang dipanggil ‘fotobrixmeter’ yang mampu mengesan buah yang dipetik sebelum tempoh matang,” katanya.

Sementara itu katanya, sebanyak 50 metrik tan harumanis akan dieksport ke luar negara pada tahun ini membabitkan 20 metrik tan ke Jepun dan selebihnya adalah ke Singapura, Brunei, Dubai dan Taiwan.

"Jumlah eksport itu adalah tertinggi sepanjang tempoh 10 tahun selepas berlakunya peningkatan hasil pada tahun ini," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment