Friday 24 April 2015

Jepun jangka jelajah bulan 2018

Ilustrasi SLIM oleh JAXA

JEPUN - Agensi Angkasa Jepun mengumumkan mengenai usaha untuk meletakkan prob di bulan pada 2018, awal minggu ini.

Menurut laporan CNN, Japan Aerospace Exploration Agency (Jaxa) mendedahkan rancangan tersebut kepada anggota penal yang terdiri daripada anggota kabinet dan menteri, Isnin lepas.

"Ini adalah langkah awal Jaxa dan terdapat banyak prosedur (yang perlu dipatuhi) sebelum ianya diluluskan," kata jurucakap Jaxa kepada wartawan.

Apabila rancangan tersebut diluluskan, Jaxa akan menggunakan roket bahan pepejal Epsilon untuk meletakkan prob 'Smart Lander for Investigating Moon' atau SLIM di permukaan bulan.

Misi tersebut juga dijangka akan menggunakan kebolehan teknologi 'sof-landing' yang mampu digunakan dalam penjelajahan pada masa hadapan.

Program Jaxa dikatakan sebagai usaha Jepun untuk bersaing dengan negara Asia lain seperti India dan China yang berjaya melakar beberapa kejayaan dalam penjelajahan angkasa lepas.

China berjaya meletakkan sebuah prob di bulan dan India berjaya melancar sebuah prob untuk menggelilingi planet Marikh.

Sebelum ini, Jaxa berjaya meletakkan prob di permukaan sebuah asteroid yang dilaporkan kembali ke bumi pada 2010.

Buat masa ini, hanya China, Amerika Syarikat dan Rusia berjaya mendaratkan prob di permukaan bulan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment