Saturday 21 March 2015

Surat nikah anak PM viral di laman sosial palsu

Daniyar Kessikbayev menyarungkan cincin ke jari Nooryana Najwa selepas diijab kabulkan. Majlis akad nikah selamat disempurnakan di Seri Perdana, semalam.

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menjelaskan surat perakuan nikah anak perempuan perdana menteri, Nooryana Najwa Najib dan pasangannya Daniyar Kessikbayev, yang tersebar di media sosial, adalah palsu.

Pengarah Jawi Paimuzi Yahya berkata, maklumat mengenai mas kahwin dan jumlah hantaran yang tertera pada surat perakuan nikah itu adalah tidak benar selain sijil berkenaan tidak ditandatangani pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jawi.

"Pihak Jawi ingin menegaskan bahawa surat perakuan nikah berkenaan adalah palsu," katanya dalam kenyataan di sini.

Jawi turut menyertakan salinan surat perakuan nikah palsu yang dilaporkan viral di media sosial dan salinan surat perakuan nikah asli bersama-sama kenyataan itu.

Kandungan dokumen palsu itu antara lain menyatakan nilai mas kahwin ialah RM111 dan jumlah hantaran sebanyak US$500,000.

Salinan dokumen asli yang diperoleh daripada Jawi memaparkan nilai mas kahwin ialah sebanyak RM5,000 tanpa menyatakan belanja hantaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan sendiri akad nikah pasangan itu dalam satu majlis di Putrajaya semalam.

Nooryana Najwa dan Daniyar mula berkenalan ketika kedua-duanya menuntut di Amerika Syarikat.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment