Saturday, 21 March 2015

Pengantin bingung tempahan makanan kena GST

Laila tertekan untuk menyediakan makanan semasa majlis perkahwinannya.

KANGAR - Seorang bakal pengantin yang akan melangsungkan majlis perkahwinannya pada bulan depan kecewa, apabila tempahan makanan yang dibuatnya oleh sebuah syarikat katering Januari lalu dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bakal pengantin yang mahu dikenali sebagai Laila berkata, dua hari lalu dia dihubungi syarikat tersebut memaklumkan makanan yang ditempahnya akan dikenakan GST sebanyak enam peratus.

“Saya hairan kenapa saya dikenakan GST sedangkan semasa saya membuat tempahan awal tahun lalu, syarikat tersebut memberitahu pihaknya tidak mengenakan GST.

“Saya sudah buat pembayaran pendahuluan kira-kira RM600 pada Januari lalu dan bakinya kira-kira RM10,000 lagi akan dibayar seminggu sebelum majlis,” katanya.

Menurutnya, dia masih tidak faham dengan tindakan syarikat katering dari Jitra, Kedah itu untuk mengenakan GST terhadap tempahan makanannya sedangkan tempahan dibuat lebih awal.

Katanya, kenaikan harga makanan yang ditempah itu menyebabkan dia terpaksa menanggung perbelanjaan melebihi sepatutnya.

“Saya akan adakan kenduri pada bulan depan, sekiranya saya hendak membatalkan tempahan, saya risau tidak ada syarikat katering yang akan terima tempahan di saat akhir.

“Jika saya dimaklumkan lebih awal, ia memudahkan saya untuk membuat perkiraan,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat katering tersebut ketika dihubungi menjelaskan syarikat itu sudah berdaftar dengan pihak Kastam dan mereka diwajibkan mengenakan GST sebanyak enam peratus kepada pelanggan yang menerima tempahan makanan pada bulan April.

“Pihak kami baru saya menerima pengesahan bahawa syarikat perlu mengenakan GST, jadi sebaik menerima pengesahan tersebut kami terus menghubungi pelanggan.

“Pelanggan masih boleh membuat pilihan sama ada mahu meneruskan tempahan atau membatalkan tempahan. Sekiranya mereka mahu membatalkan tempahan, pihak syarikat akan pulangkan kembali wang pendahuluan yang sudah dibayar,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment