Wednesday, 18 March 2015

Pencuri tertinggal telefon bimbit

Hashim dan Nursyafiqah menunjukkan laporan polis yang dibuat.

KULIM - Seorang remaja yang sedang tidur berdepan detik cemas apabila biliknya dimasuki pencuri dalam satu kejadian di rumahnya di Karangan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, suspek yang dikenali mangsa berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM300, namun tercicir telefon bimbitnya ketika melarikan diri melalui tingkap.

Mangsa, Nursyafiqah Hashim, 14, berkata, kejadian itu disedarinya kira-kira jam 2 pagi apabila suspek cuba mendekatinya ketika sedang tidur.

"Saya terkejut dan cuba membuka lampu namun suspek menarik saya sehingga terduduk.

"Saya nak jerit tapi mulut ditekup dan leher dicekik sehinggalah saya gigit tangan suspek. Dia pun lepaskan tangan saya," katanya kepada Sinar Harian.

Nursyafiqah berkata, selepas menjerit, suspek itu terus melarikan diri melalui tingkap.

"Saya terus buka lampu dan waktu itu juga saya tak sedar rupanya tangan saya sudah cedera berdarah ditikam pencuri," katanya.

Bapa mangsa, Hashim Osman, 50, berkata, ketika kejadian dia dan isteri serta dua lagi anaknya tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan.

"Tapi seorang lagi anak perempuan saya yang berada di bilik berlainan terdengar bunyi bising di tingkap namun tak mengendahkannya.

"Sebelum ini ada juga kejadian kecurian berlaku dan kehilangan wang, namun mereka tak masuk ke dalam rumah. Hanya guna kayu dengan mengait seluar yang digantung bagi mendapatkan wang yang ditinggalkan dalam kocek," katanya.

Berikutan kejadian itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim kira-kira jam 5 pagi, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes akan disiasat.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment