Wednesday, 18 March 2015

‘Anggap saja aku sudah mati’

Jenazah mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Langgar.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

Kenangan mangsa (kanan) bergambar bersama rakan baiknya, Aizat.

Imej terakhir yang dimuat naik mangsa dalam Facebook miliknya.


KUALA BERANG - ‘Anggap Saja Aku Sudah Mati’. Itu imej terakhir yang terpapar pada Facebook milik mangsa lemas ketika mandi sungai, petang kelmarin.

Imej yang mengandungi tulisan berwarna merah itu dimuat naik pada 30 Januari lalu.

Mangsa, Muhammad Nur Zulfiqri Mohd Zuki, 15 merupakan bekas pelajar SMK Seri Berang bersama dua sahabatnya mengisi masa cuti sekolah dengan mandi-manda di sungai di kawasan bawah jambatan Kampung Buluh, di sini.

Bagaimanapun keseronokan bermain air bertukar tragedi apabila Muhammad Nur Zulfiqri yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya Ahad ini ditemui lemas.

Dalam kejadian kira-kira, 3.20 petang itu, selain mangsa yang berasal dari Kampung Langgar, rakan baiknya dikenal sebagai Tuan Aizat juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa.

Difahamkan, mangsa ditemui orang awam di lokasi sama kira-kira 20 minit selepas kejadian dan ketika ditemui dia yang juga pelajar SMK Seri Lalang, Air Hitam, Johor, dipercayai sudah meninggal dunia.

Mangsa, yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dan kini tinggal di Johor bersama ibunya, baru pulang ke kampung ayahnya, Mohd Zuki Ngah, 46, untuk menghabiskan masa sempena cuti sekolah.

Terkejut dapat tahu anak lemas

Mohd Zuki berkata, dia mendapat tahu berita sedih menimpa anaknya itu ketika sedang berehat di rumah kira-kira jam 4.15 petang, setelah seorang rakan anaknya datang memaklumkan kepadanya.

“Saya tidak pasti jam berapa dia keluar rumah dan saya sangat terkejut bila mendapat tahu anak saya sudah tiada akibat lemas ketika mandi di sungai bersama rakannya. Setahu saya, dia tidak pernah mandi sungai di sana (Kampung Buluh).

“Walaupun sedih dengan pemergiannya, namun sebagai bapa saya reda dengan ketentuan-NYA kerana ALLAH lebih menyayangi dia daripada kami sekeluarga serta rakannya,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Langgar, di sini, semalam.

Mangsa terkapai-kapai di tengah sungai

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dan seorang rakannya dikenali sebagai Aiman terjun ke sungai, lalu berenang ke tengah, manakala Aizat menunggu di tebing.

“Ketika di tengah sungai, mangsa didapati lemas menyebabkan Aiman mengambil keputusan berenang ke tebing bagi mendapatkan pertolongan. Melihat mangsa terkapai-kapai, rakannya (Aizat) berada di tebing itu kemudiannya terjun ke sungai untuk selamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, dia (Aizat) pula yang turut sama lemas. Sementara Aiman mendapatkan pertolongan daripada orang kampung sebelum berjaya menyelamatkan Aizat.

“Mangsa yang ditemui kira-kira 20 minit kemudian, meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan mati lemas.

“ Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan ibu bapa diingatkan agar sentiasa awasi pergerakan anak mereka,”

Pakai jaket keselamatan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Zamri Omar pula berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.38 petang dan bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota.

“Sebaik tiba di lokasi didapati mangsa sudah dijumpai orang awam,” ujarnya.

Katanya, kedalaman sungai itu dianggarkan kira-kira tiga meter dan difahamkan kawasan itu sering menjadi tumpuan pemancing.

“Orang awam dinasihatkan agar sentiasa utamakan keselamatan, termasuk menjadikan pemakaian jaket keselamatan sebagai satu amalan.

“Walaupun mandi di sungai berikan satu keseronokan, tetapi ia juga mampu mengundang perkara tidak diingini,” ujarnya.

- Sumber: Sinar Harian 

    No comments:

    Post a Comment