Monday 2 March 2015

Nufam dakwa pesawat MAS dipajak, punca masalah


SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) menggesa Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengadakan rundingan untuk menentukan nasib 3,500 ahlinya.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin berkata, MAS tidak sepatutnya memaksa kakitangannya menerima perjanjian baharu sempena penstrukturan semula syarikat tanpa persetujuan Nufam.

“Ahli-ahli kami mahu MAS lebih telus mengenai rancangan penstrukturan dan tidak menyembunyikan perkara ini sehingga ke saat akhir. Ramai pekerja kecewa dengan tindakan ini dan bagaimana MAS fikirkan tentang sokongan kami (Nufam) terhadap mereka (MAS)?," katanya.

Beliau mendakwa, MAS dalam keadaan tergesa-gesa meminta anak kapal menerima tawaran baharu tanpa membuat sebarang persediaan.

“MAS sebelum ini, membuat kenyataan akan mengeluarkan surat pemecatan kakitangan pada Mac sedangkan peralihan kepimpinan baharu hanya akan bermula pada Jun tahun ini. Jadi mengapa tergesa-gesa?

“Sekiranya MAS ingin menstrukturkan semula syarikat, mereka perlu menyingkirkan beban kewangan yang ditanggung. Tetapi kami yakin pekerja bukan beban kewangan sebaliknya beban ditanggung daripada kontraktor dan pemiutang,” katanya.

Ismail mendakwa, sehingga hari ini kebanyakan pesawat besar MAS telah dipajak syarikat berkenaan kepada syarikat penerbangan lain.

“Jadi di mana pesawat sebenar MAS? Pesawat-pesawat perlu berada di udara untuk memberi keuntungan,” katanya.

“MAS perlu sedar kesetiaan kakitangan telah membantu syarikat berkembang. Ahli kami mahu MAS menunjukkan kesaksamaan dan tidak menggunakan taktik kelewatan serta tergesa-gesa bagi meminta pekerja menerima syarat-syarat baharu tanpa pandangan Nufam,” katanya.

Ismail turut memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini yang meminta MAS berbincang dengan Nufam.

“Apa yang boleh saya katakan, MAS mengambil pendekatan berdiam diri. Kami menerima banyak panggilan daripada ahli yang bertanyakan tentang penstrukturan semula ini.

“Nufam tidak boleh menjawab soalan yang diajukan melainkan MAS berbincang dengan Nufam dan mengemukakan apa yang mereka tawarkan sebagai pampasan kepada anak-anak kapal,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment