Monday 2 March 2015

Berdua-duaan dalam gelap

Mohd Anuar (kiri) pada pemeriksaan di kelab malam sekitar bandar Kluang.

KLUANG - Duduk berdua-duaan bersama bukan mahram dalam bilik gelap, mengundang padah buat lima pasangan apabila mereka ditangkap Bahagian Penguatkuasa Pejabat Agama Islam daerah Kluang di bilik pusat karaoke di Kluang Parade, di sini, malam kelmarin.

Tangkapan tersebut hasil operasi cegah maksiat yang dilakukan di beberapa pusat karaoke di sekitar bandar Kluang bermula jam 11 malam hingga 1 pagi.

Operasi Cegah Maksiat itu diketuai Penguatkuasa Agama Kanan Pejabat Agama Islam Kluang, Mohd Anuar Kosnin, bersama 20 anggota penguatkuasa pejabat agama Islam Kluang, Muar, Pontian, Mersing, Johor Bahru, Ledang dan Batu Pahat serta tiga anggota Unit Penyiasatan Khas Kem Mahkota.

Menurut Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor, semua yang ditangkap berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun.

“Lima pasangan yang ditangkap ini melakukan kesalahan duduk berdua-duaan bersama pasangan dalam gelap dan perbuatan itu dilihat kurang sopan.

“Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 19(2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam operasi sama, Mohd Khalil berkata, pihaknya turut mengadakan pemeriksaan di kelab malam sekitar bandar Kluang.

Beliau berkata, hasil daripada pemeriksaan tersebut, pihaknya menangkap seorang wanita berusia 20-an yang dipercayai bekerja di kelab berkenaan.

“Wanita yang bertugas sebagai penghidang minuman keras itu ditahan kerana ia satu kesalahan bagi seorang yang beragama Islam.

“Walaupun alasan wanita berkenaan hendak berhenti bekerja, namun kami terpaksa menahannya dan dia disiasat di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara dan
enam kali sebatan,” katanya.

Manakala, dalam operasi di hotel bajet, Pejabat Agama Islam Kluang berjaya menangkap sepasang kekasih di sebuah hotel bajet di tengah bandar Kluang.

Mohd Khalil berkata, pasangan berkenaan berusia dalam lingkungan 20-an dan kedua-duanya masih bujang.

“Pasangan berkenaan berasal dari Kluang dan akan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) ab Enakmen Kesalahan jenayah Syariah Johor 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Operasi yang dijalankan itu adalah operasi malam minggu bagi cegah maksiat daripada terus berleluasa di daerah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment