Monday 2 March 2015

Aiskrim pasu, aiskrim lesung batu, aiskrim buluh & aiskrim congkak!



Bersesuaian dengan keadaan cuaca panas yang melanda Malaysia kini, timbul beberapa produk pencuci mulut yang diinovasikan sesuai dengan situasi semasa.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, aiskrim pasu mula menjadi perhatian di media sosial. Perkongsian foto dan selfie yang diambil bersama aiskrim pasu menarik perhatian pengguna media sosial lain untuk mencuba sendiri pencuci mulut itu.

Bagi yang pernah mencubanya, mereka mendapati tiada rahsia dalam resipi pembikinan aiskrim pasu. Tetapi tarikan utama adalah pada saiz pasu dan kreativiti dekorasinya.


Izzah Esa, 33 tahun dari Kota Tinggi mempromosikan aiskrim pasu melalui facebook.com/aiskrimpasu. Dia bersama rakan karibnya telah memulakan perniagaan menjual aiskrim pasu sejak November 2014 lagi.

Bagi memastikan produknya lain daripada yang lain, Izzah membuat sendiri coklat yang digunakan pada hiasan aiskrim disamping pasu besar bersaiz XL dengan diameter 12 sm. Idea menghasilkan aiskrim pasu mula timbul ketika membuat dekorasi masakan untuk ibunya yang gemar menyertai pertandingan memasak.

Oleh kerana aiskrim pasu mulai popular, timbul isu tentang kebersihan bekas pasu yang digunakan oleh para peniaga. Bagi Izzah, untuk memastikan produknya bersih & selamat, dia menggunakan bekas jenis bebas BPA bagi mengelakkan sebarang bentuk pencemaran makanan.

Harga pencuci mulut itu biasanya dijual bermula RM5 bergantung kepada hiasan dan coklat yang ditambah pada aiskrim pasu.

Selepas aiskrim pasu, timbul pula inovasi lain dengan menukar bekas pasu kepada buluh, lesung batu serta paling terbaharu, congkak yang juga nampak kreatif dan menarik.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment