Sunday 8 March 2015

Nik Nazmi ditahan selepas beri keterangan

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad telah ditahan polis selepas hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi jam 10 pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad telah ditahan polis selepas hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi jam 10 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan beliau melalui laman Twitternya sebentar tadi.

"Saya ditahan di bawah APA dan S143 Kanun Keseksaan untuk 1 malam di Dang Wangi dan akan di bawa ke Jinjang," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu.

Dalam pada itu menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, Nik Nazmi telah ditahan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan akan dibawa ke Balai Polis Jinjang di mana beliau akan direman sehingga esok.

Terdahulu, Nik Nazmi telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan #KitaLawan pada Sabtu.

Nik Nazmi dalam catatan tweetnya pada malam Sabtu berkata beliau menerima panggilan daripada pegawai polis untuk memintanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 8 Mac.

“Saya maklum akan hadir esok (Ahad) 10 pagi dengan peguam,” kata beliau dalam akaun Twitter peribadinya pada kira-kira jam 10.20 malam tadi.

Semalam, Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya Saifullah Zulkifli telah ditahan polis di bawah akta yang sama sejurus selepas perhimpunan itu selesai.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menerusi pesanan Whatsapp kira-kira jam 8.10 malam Sabtu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu memberi amaran kepada penganjur perhimpunan #KitaLawan supaya bersedia dengan apa-apa tindakan yang akan diambil pihak polis.

Perhimpunan #KitaLawan diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap pemenjaraan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar setelah mendapatinya bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment