Sunday, 8 March 2015

Mengimbau detik kritikal pesawat MH370

Kapten Nik Huzlan (kiri) menerangkan kepada wartawan Astro AWANI tentang fungsi beberapa suis dalam kokpit pesawat Boeing.

KUALA LUMPUR: Jam 12.25 pagi pada tarikh 8 Mac 2014. Suara dari kokpit pesawat Penerbangan Malaysia MH370 mengucapkan 'selamat pagi' kepada pusat kawalan trafik udara (ATC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 orang anak kapal itu dalam keadaan bersedia untuk meninggalkan terminal. Sementara menanti arahan lanjut daripada ATC, sebuah pesawat lain iaitu MH6 baru saja berlepas dari landasan dalam jadual penerbangannya ke Frankfurt.

Segalanya seperti lancar mengikut jadual dan kesemua penumpang mengharapkan penerbangan MH370 dapat membawa mereka tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi.

MH370 selanjutnya mengambil masa kira-kira 16 minit dari saat mendapat izin untuk meninggalkan terminal, ke taxiway dan kemudian ke landasan pelepasan.

“32 Right, cleared for take-off MAS 370. Thank you. Bye,” itulah kata-kata akhir dari dalam kokpit MH370 sebelum fizikal pesawat itu akhirnya berlepas pada jam 12.41 pagi dan bebas daripada bersentuh dengan bumi Malaysia.

Ikuti temuramah eksklusif bersama Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain
Juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27, bergandingan dalam menggalas posisi tugas dalam ruang kokpit itu – antara mengendalikan pesawat dengan menjaga hubungan komunikasi radio.

Pesawat MH370 meluncur naik ke paras ketinggian 25,000 kaki pada jam 12.46 pagi dan seterusnya berada pada paras 35,000 kaki 15 minit kemudian.

Pada jam 1.07 pagi, transmisi pertama dari Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) menyampaikan maklumat penting mengenai keadaan mekanikal. Ketika itu, kedudukan penerbangan kekal di altitud yang sama.

Hinggalah tiba ke detik jam 1.19 pagi, ATC memberi arahan agar MH370 menghubungi Ho Chi Minh kerana pesawat sudah menghampiri sempadan Malaysia dan Vietnam: “Malaysian Three Seven Zero contact Ho Chi Minh 120 decimal nine. Good night”.

Hanya berselang lima saat, MH370 menyahut: “Good night, Malaysian Three Seven Zero”.

Sejurus ATC Kuala Lumpur melepaskan pesawat MH370 yang meluncur keluar daripada skop radar pada jam 1.21 pagi, Vietnam sepatutnya menerima isyarat daripadanya.

Pada jam 1.30 pagi, pesawat MH370 dilaporkan hilang jejak dalam radar. Hal yang pantas ‘berterbangan’ bermula dari detik tersebut adalah tanda tanya, reaksi cemas dan beban emosi berangkai-rangkai. 

Apakah yang berlaku?

Bekas Ketua Juruterbang Serantau Penerbangan Malaysia, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain ketika membimbing krew Astro AWANI mengimbas semula detik kritikal tersebut memberitahu, ucapan ‘selamat malam’ itu adalah sesuatu yang biasa.

Ia menunjukkan hubungan yang saling mengenali antara pengendali pesawat dengan petugas ATC.
“ATC Kuala Lumpur ketika itu sudah nampak dalam radar iaitu isyarat transponder bersama butiran data seperti nombor plat pesawat penerbangan MH370, ketinggian dan kelajuan.

“Dalam skop radar juga menunjukkan garis sempadan iaitu pesawat MH370 dilihat menghampiri IGARI, merujuk kepada kawasan sempadan seperti checkpoint antara Malaysia dan Vietnam,” jelas Nik Huzlan.

Jelasnya, ketika itu ATC Kuala Lumpur mengingatkan MH370 untuk menghubungi Vietnam bagi menyatakan bahawa pesawat hendak memasuki ruang udara negara tersebut.

“Namun begitu, selepas ucapan ‘selamat malam’ tersebut, sepatutnya juruterbang atau pembantu juruterbang akan menukar frekuensi radio dan terus akan memanggil ATC Vietnam tersebut,” ujarnya.

Nik Huzlan juga menjelaskan, panggilan itu biasanya dimulakan dengan ucapan selamat, pengenalan pesawat dan kedudukan paras penerbangan oleh juruterbang.

Sekiranya ATC Vietnam mendapat pengesahan identiti pesawat dan kedudukan, MH370 akan mendapat keizinan dan arahan untuk meneruskan perjalanan seperti dalam jadual penerbangan.

Menurut Nik Huzlan, ‘salam pengenalan’ itu terjadi setiap kali melintas sempadan ruang udara. Anehnya, ia tidak berlaku pada pagi berkenaan.

Nik Huzlan berkata, kelewatan menjalin komunikasi dengan pihak ATC sesuatu zon udara yang dilintasi bukanlah sesuatu yang pelik selagi ia dalam sela masa beberapa minit. Namun dalam kes MH370 yang lama ‘hilang’ tanpa jejak penerbangan, ia menimbulkan persoalan.


90 saat yang misteri

Tiada yang luar biasa tentang ucapan ‘selamat malam’ oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah kerana tiada ton suara stres dikesan, malah bukan masalah jika berlaku kelewatan menghubungi ATC Vietnam.

Kata Nik Huzlan, perkara yang menjadi tanda tanya paling besar adalah mengenai kehilangan isyarat transponder akibat dipadamkan.

“Detik yang penting adalah dalam tempoh masa kira-kira 90 saat iaitu bermula jam 1.19 pagi hingga 1.21 pagi. Sesuatu telah berlaku pada MH370 ketika itu,” kata Nik Huzlan.

Menurutnya, pelbagai teori dan spekulasi telah timbul. Ada yang kata berlaku masalah teknikal, kebakaran, pengsan akibat asap atau kematian mendadak, hinggalah kepada andaian pesawat MH370 dirampas.

“Kalaulah semua itu benar terjadi dalam penerbangan, mengapakah tiada panggilan radio dilakukan? Jika berlaku sesuatu kecemasan, ada banyak saluran boleh digunakan,” ujarnya.

Nik Huzlan sempat menunjukkan beberapa mod pengaktifan komunikasi isyarat radio di panel kawalan kokpit. Sama ada jelas mahupun tersembunyi, saluran komunikasi itu terdapat pada butang di control column (yoke), pesanan teks melalui ACARS, saluran VHF dan HF selain kod khas pada transponder itu sendiri.

“Semua (butang komunikasi) sebenarnya sempat dicapai tanpa dilihat oleh juruterbang, lebih-lebih lagi oleh Kapten Zaharie yang berpengalaman 35 tahun membawa kapal terbang,” ujarnya.

Bagaimanapun, beberapa saluran komunikasi dilaporkan telah dipadamkan dengan sengaja secara manual. Sebaik sahaja fungsi ACARS ditutup, suis transponder pesawat MH370 pula dipadamkan pada jam 1.22 pagi lalu menyebabkan ia hilang daripada radar.

Bagi Nik Huzlan, saluran komunikasi yang hilang satu demi satu itu kekal menjadi keadaan yang mencurigakan. Walaupun jika mengambil kira kemungkinan berlaku insiden pengsan akibat hipoksia, bagaimana boleh terjadi kawalan pesawat yang membuat beberapa pusingan selepas itu?

Oleh itu, kerajaan Malaysia yang disokong oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) serta penyiasat yang bertauliah kekal dengan pendirian bahawa wujud ‘tindakan yang sengaja oleh seseorang yang arif dari segi kendalian pesawat dan jalan udara’.

Kapten Nik Huzlan memberi penjelasan kepada pelbagai teori yang digembar-gemburkan oleh orang awam yang kurang memahami selok-belok dunia penerbangan. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

PERSOALAN BERKAITAN MH370

Bolehkah transponder dihidup dan dipadamkan?

Transponder memang boleh dihidup dan dipadamkan secara manual dan perkara itu beberapa kali dilakukan bergantung kepada lokasi iaitu sama ada ketika berada di lapangan terbang mahupun sewaktu penerbangan, kata Nik Huzlan.

“Memang transponder ini patut dipadamkan apabila pesawat berada di lapangan terbang. Bayangkan ada puluhan pesawat lain yang turut berada di tempat yang sama, nanti dalam radar akan penuh dengan isyarat,” ujarnya.

Tambah Nik Huzlan, jika dalam keadaan berhenti di lapangan terbang, isyarat transponder tidak perlu dihidupkan untuk memberitahu kedudukan.

“Tapi di udara, sepatutnya ia tidak dipadamkan,” kata Nik Huzlan.

Kemungkinan situasi rampasan

Menurut Nik Huzlan, selepas tragedi 9 September, 2011 di New York pintu kokpit pesawat telah dibina lebih kukuh dan dilengkapi ciri-ciri keselamatan tambahan. Prosedur untuk memasuki kokpit juga memerlukan kod yang hanya diketahui oleh anak-anak kapal.

Tambahnya, juruterbang juga boleh melihat orang yang di luar pintu kokpit melalui kamera litar tertutup (CCTV). Pergerakan untuk ke kokpit juga memerlukan seseorang melewati laluan sempit dan ruang galley yang terdapat krew kabin. Keseluruhan jarak tersebut dari tempat penumpang adalah kira-kira lapan kaki.

“Maknanya, jika ada sesiapa mahu menceroboh tanpa disyaki, dia pasti dari Kelas Bisnes kerana penumpang dari Kelas Ekonomi yang cuba melintas ke ruang Kelas Bisnes akan ditahan.

“Kalau orang itu melawan juga, sudah jadi aktiviti yang mencurigakan,” jelas Nik Huzlan yang menegaskan sebarang usaha menceroboh memerlukan masa dan ada banyak peluang untuk mengaktifkan kod kecemasan.

Selain daripada itu, dalam kalangan krew kabin juga mempunyai kod rahsia tersendiri untuk disampaikan sesama mereka mahupun kepada juruterbang melalui intercom sekiranya berlaku ancaman kecemasan termasuk rampasan pesawat.

Ketinggian adalah paras biasa

Pesawat MH370 yang sedang terbang pada ketinggian 35,000 kaki itu merupakan paras yang biasa. Pesawat akan terbang setinggi yang boleh kerana ia memberi kelebihan dari aspek penjimatan kos bahan bakar.

“Paras ketinggian tersebut juga bagus untuk mengelak awan. Jika pembentukan awan masih ada pada ketinggian 35,000 kaki, pesawat boleh naik lagi ke ketinggian 37,000 atau 41,000 kaki misalnya,” ujar Nik Huzlan.

Menurutnya, dalam setiap penerbangan, juruterbang akan cuba terbang setinggi yang boleh. Dari segi trafik, sekiranya ada pesawat lain yang terbang di ketinggian yang hendak dinaiki maka pesawat terbatas pada paras ketinggian yang ditetapkan. 

Pertukaran peranan antara juruterbang dan pembantu juruterbang adalah amalan biasa dalam sesebuah penerbangan. 


Pertukaran peranan amalan biasa

Berdasarkan data perbualan, Nik Huzlan yakin bahawa sewaktu pesawat terbang menaik (selepas berlepas ke ketinggian 35,000 kaki), yang membawa pesawat ialah pembantu juruterbang sementara Kapten Zaharie menjaga radio.

Menurutnya, pertukaran peranan atau penggiliran tugas antara juruterbang dengan pembantu juruterbang adalah amalan biasa.

Sebagai contoh, sekiranya dari taxiway ke runway dikendalikan oleh juruterbang, maka pembantu juruterbang akan menjaga komunikasi radio.

Apabila sudah handover di runway, jika pembantu juruterbang pula membawa pesawat, maka juruterbang akan beralih kepada tugas seperti pembantu juruterbang.

Nik Huzlan juga yakin bahawa orang yang mengucapkan “Good night, Malaysian Three Seven Zero” itu ialah Kapten Zaharie.

“Dalam setiap penerbangan, kapten akan buat keputusan secara santai tentang tugas masing-masing dalam penerbangan – tentang siapa yang memandu pesawat dan siapa yang menjaga radio.

“Kadang-kadang (persetujuan) itu diputuskan semasa dalam kokpit, semasa sedang berjalan ke pesawat ataupun ketika di pusat penerbangan.

Sebagai contoh dalam pesawat MH370, sekiranya Fariq bertindak mengendalikan pesawat, Kapten Zaharie secara tidak langsung menjalankan tugas seorang pembantu juruterbang.

Teori pesawat MH370 berakhir di Antartika

Saluran dokumentari terbitan antarabangsa baru-baru ini ada menyebut tentang teori terbaharu bahawa pesawat MH370 menuju ke Antartika. Nik Huzlan bagaimanapun tidak sepenuhnya menafikan kenyataan tersebut.

“Berdasarkan garis lurus haluan dan data satelit memanglah ia menghala ke Lautan Hindi Selatan dan seterusnya ke Antartika. Samalah kalau kita kata hendak pandu kereta ke Changlun di Kedah, namun minyak hanya dapat sampai ke Tapah.

“Andaian (dokumentari) itu hanya untuk menghidupkan sensasi. Bunyinya tidak menipu dan tidaklah salah, tapi ia (berakhir di Antartika) tidaklah betul,” kata Nik Huzlan.

Menyangkal teori Diego Garcia

Kemungkinan pesawat MH370 disembunyikan di pangkalan tentera Diego Garcia oleh kuasa dunia merupakan antara teori yang paling popular dalam kalangan mereka yang gemar melayan andaian. 

Begitupun, Nik Huzlan berkata, Diego Garcia menjadi misteri kerana kali pertama disebut oleh orang awam yang mengaitkannya dengan hal-hal perisikan. Namun, bagi komuniti yang bergiat dalam dunia penerbangan, tempat itu adalah sebuah lokasi biasa.

“Malah pada pertengahan tahun 2000, dua buah pesawat Jumbo MAS telah sampai ke Diego Garcia untuk menghantar pulang askar Amerika Syarikat (AS). Saya sendiri yang menyelaras penghantaran itu,” ujarnya.

Tambah Nik Huzlan, pulau milik Britain yang disewa AS untuk menempatkan pangkalan tenteranya itu tidak langsung membantu menjelaskan teori kehilangan MH370.

“Teori Diego Garcia ini popular sangat. Kita tak payah layan. Mungkin orang suka menyebutnya kerana ia kedengaran sensasi dan eksotik,” ujarnya.

Dalam sesi wawancara tersebut, Nik Huzlan memberitahu, akan muncul pelbagai lagi teori baharu selepas ini memandangkan momen penting yang berlaku dalam detik kritikal pesawat MH370 sebenarnya belum dapat dijelaskan dengan sempurna.

Beliau berpesan, adalah penting untuk semua orang membuat penilaian berdasarkan logik serta tidak berlebih-lebihan mengulas apatah lagi tentang sesuatu yang di luar pengetahuan serta kepakaran.

Nik Huzlan sendiri menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan mana-mana pihak yang mahu bercakap tentang andaian atau teori berkaitan kehilangan pesawat MH370.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment