Thursday 5 March 2015

Lelaki maut terkena tembakan amaran anggota polis

Mohd Nashir (dua, kiri) semasa sidang media.

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat koperal ditahan kerana melepaskan tembakan amaran sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Guar Nenas, Gurun, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 petang, mangsa berusia 30-an, yang tidak memiliki sebarang pengenalan diri ditemui terbaring dengan kesan darah di baju.

Mangsa dihantar ke hospital di Sungai Petani dan disahkan meninggal dunia kerana terdapat kesan tembakan di badannya.

Turut ditemui di sebelah mangsa ialah sebuah motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan terbalik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang berkhidmat lebih 10 tahun itu ditahan di IPD Kuala Muda, kira-kira jam 7 petang.

Beliau berkata, anggota berumur 30-an berasal dari Sabah dipercayai melepaskan satu tembakan ke arah mangsa yang dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai mahu menyamun isteri serta ibu mentuanya ketika itu berada di tepi jalan berhampiran kilang lama di Guar Nenas.

"Anggota itu dikatakan mahu mencari motosikalnya yang hilang di kawasan berkenaan. Dia menaiki sebuah kereta dan turut membawa isteri dan ibu mentuanya kira-kira jam 11.15 pagi.

"Apabila sampai di kilang itu anggota terbabit mencari motosikal di kawasan sekitar dan meninggalkan isteri dan ibu mentuanya di situ," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini semalam.

Menurutnya, lelaki yang menunggang motosikal kemudian mendekati kedua-dua wanita itu menyebabkan isteri suspek menghubungi suaminya kerana curiga dengan mangsa turut membawa parang panjang yang dibalut dengan kain batik serta walkie talkie.

Mohd Nashir berkata, anggota polis itu kemudian berpatah balik dan sempat menarik kolar baju mangsa namun sempat melarikan diri.

"Dia kemudian melepaskan tembakan amaran dengan tujuan menyekat mangsa melarikan diri namun peluru terkena pada badannya.

"Bagaimanapun, mangsa masih mampu bergerak untuk lari tetapi akhirnya rebah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Mohd Nashir berkata, mangsa seorang penganggur dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

"Namun kita masih menyiasat latar belakang mangsa untuk mengetahui puncanya membawa parang dan walkie talkie," katanya.

Anggota polis itu direman tujuh hari sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment