BAGAI tiada kesudahan. Begitulah yang dapat digambarkan mengenai kontroversi demi kontroversi yang melanda selebriti serba boleh, Zizan Razak.
Masakan tidak, sejak beberapa minggu lalu, nama Zizan sering menjadi sebutan dek kerana beberapa isu yang memburukkan namanya sehingga membuatkan Zizan menjadi buruan pihak media.
Bukan itu sahaja, populariti Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 30, mula merudum sejak akhir-akhir ini.
Buktinya, meskipun menerima pencalonan terbanyak pada Anugerap MeleTOP Era baru, baru ini, Zizan gagal membawa pulang sebarang trofi pada malam tersebut.
Namun bagi Penerbit filem KRU Studios, Norman Abdul Halim, dia melihat apa yang berlaku pada Zizan sejak kebelakangan ini dek komplot oleh pihak yang ingin menjatuhkan aktor itu.
Jelas Norman, kontroversi dan isu hangat yang bertali arus menghimpit anak kelahiran Terengganu itu seolah-olah sengaja dicipta.
“Beberapa bulan ini dengan apa yang berlaku terhadap diri Zizan, saya rasa macam ada satu gerakan yang mahu jatuhkan dia.
“Tapi, saya tidak pasti siapa pihak tersebut yang nampaknya seperti kurang senang dengan Zizan,” katanya yang berada di sisi Zizan sepanjang pihak media menemu bual hero filem Cicakman 3 itu, pada malam tayangan perdana filem berkenaan di e@Curve, Damansara, kelmarin.
Berharap segala isu panas yang dikaitkan dengan aktor itu tidak terus diperbesarkan lagi, Norman juga sempat memberi pandangan mengenai gosip cinta terbaru Zizan bersama Naib Presiden GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.
“Kalau ada pihak yang sentiasa saja mahu mencari salah dia, saya rasa sesiapa pun akan rasa tertekan apabila terpaksa berdepan dengan keadaan itu.
“Saya sudah lama mengenali Zizan. Saya sayang dengan bakat yang dia ada dan dia bukan saja boleh melawak tetapi boleh berlakon.
“Sebenarnya apabila saya dengar tentang gosip cinta dia dengan orang Astro, saya tertanya juga siapakah wanita itu. Bagaimanapun apabila saya diberitahu wanita yang dimaksudkan itu ialah Yasmin, saya lagilah tergelak,” katanya.
Mohon maaf
Sementara itu, di tebak mengenai kehilangannya sejak beberapa isu kontroversi yang menghimpit dirinya, Zizan berkata, dia hanya mencari sedikit ruang untuk bernafas.
“Saya diam sebelum ini sebab mahukan sedikit ruang bernafas dan memikirkan apa yang berlaku sebenarnya, sebab saya sendiri tertanya-tanya.
“Mengenai isu Anugerah Meletop, saya sebenarnya tidak ‘lari’ dan saya tidak kecewa walaupun saya kalah. Kemenangan pada saya adalah satu bonus dan Kerja adalah kerja manakala sesiapa saja boleh menang.
“Sebenarnya sejurus saja acara tamat saya masih ada di belakang pentas. Selepas makan, saya terus pulang sebab lagipun saya tidak terlibat dengan sidang media pada malam itu," ujarnya.
Dalam majlis itu, Zizan turut memohon maaf secara terbuka atas ketidakhadirannya pada malam tayangan perdana filem arahan Mamat Khalid berjudul Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh, minggu lalu.
Jelas Zizan, dia juga sudah memohon maaf kepada Mamat dan menyifatkan perkara itu sudah pun selesai.
"Saya sudah minta maaf dengan abang Mamat. Saya juga ada berborak dengan beliau tetapi biarlah antara saya dan dia saja yang tahu apa yang kami borakkan.
"Saya mengaku salah dan saya pun telah mendapat teguran daripada pihak pengurusan saya. Insya-Allah saya akan jalankan tanggungjawab saya berkaitan promosi bukan saja pada Cicakman 3 tetapi juga pada Werewolf.
"Lagi pun komitmen saya pada kedua-dua buah filem adalah sama dan saya tidak berat sebelah,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai ketidakhadirannya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment