Tuesday 10 March 2015

Calon PAS dicabar empat calon Bebas di PRK DUN Chempaka

PRK DUN Chempaka pada 22 Mac ini bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

PENGKALAN CHEPA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac ini bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

Calon PAS ialah Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon bebas ialah bekas calon bebas PRK DUN Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55; dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.

Sementara itu proses penamaan calon siang tadi berjalan lancar dengan calon PAS, Ahmad Fathan menghantar borang pencalonan sekitar jam 9.05 pagi diikuti calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang sebelum ini pernah bertanding di DUN Pengkalan Kubor.

Selepas Izat Bukhary, bekas Naib Presiden PERKASA Kelantan, Sharif Mahmood, 59, menghantar borang pencalonan diikuti Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55; dan seorang pesara Aslah Mamat, 64.

Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ibrahim Bakri Mat Deris, kesemua calon tersebut layak bertanding pada PRK Chempaka kali ini.

Tiada bantahan dikemukakan semasa tempoh bantahan selama tiga puluh minit.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyifatkan proses penamaan calon hari ini berjalan lancar dan aman.

Katanya tiada provokasi dan tiada pondok panas dipasang sekitar kawasan pusat penamaan calon yang diadakan di Maktab Rendah Sains MARA, MRSM Pengkalan Chepa itu.

Katanya hari pengundian awal adalah pada 18 Mac depan manakala pengundian sepenuhnya ialah pada 22 Mac dengan daftar pemilih terkini berjumlah 21, 890 orang termasuk 1,497 pemilih awal.

Sejumlah 42 saluran dibuka dengan 10 pusat pengundian.

Beliau juga menjangkakan keputusan PRK DUN Chempaka akan dapat diketahui sekitar jam 9 malam 22 Mac depan.

“Peratusan keluar mengundi ini dalam lingkungan 70 peratus walaupun pada PRU 13 dulu jumlah pengundian 85.90 sekitar 70 lah kita punya sasaran sebab calon yang besar parti yang besar yang biasa bertanding tak bertanding saya menjangkakan penyokong mungkin tak keluar tapi saya galakkan sebagai pengundi keluarlah,” kata Abdul Aziz.

Katanya lagi PRK DUN Chempaka kali ini memperuntukan lebih 800 ribu ringgit perbelanjaan pengurusan pilihan raya.

Jumlah ini kecil disebabkan DUN Chempaka tidak memerlukan pengangkutan lain seperti helikopter dan bot sebaliknya hanya menggunakan kenderaan darat selain jaraknya yang dekat.

Beliau juga menjelaskan DUN Chempaka mempunyai pengundi wanita yang ramai dengan jumlah lebih 10 ribu atau 50.7 peratus dan pengundi muda memonopoli jumlah pengundi di sini.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Febuari lepas akibat kanser prostat. 

- Sumber: Astro Awani  

No comments:

Post a Comment