Wednesday 18 February 2015

Pengusaha mi wantan rugi


SELAYANG - Pengusaha kilang pemprosesan mi wantan kerugian lebih RM120,000 apabila premis yang terletak di Jalan 29 Selayang Baru, hangus dalam kebakaran kira-kira jam tiga pagi semalam.

Menurut pemilik yang hanya mahu dikenali sebagai Yap, 47, kejadian tidak diduga itu menyebabkan dia tidak dapat menghantar tempahan sekurang-kurangnya 3,000 kilogram kepada pelanggan untuk stok Tahun Baharu Cina.

“Kebelakangan ini, saya memang kerja kuat untuk siapkan tempahan awal kerana mahu tutup kedai selama empat hari (bermula hari ini). Tetapi kesemuanya tergendala akibat tragedi ini.

“Kejadian ini mula disedari salah seorang pekerja kilang yang ketika itu sedang membungkus mi apabila terhidu bau asap sebelum nampak kepulan asap dari lot sebelah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya lagi, dia bernasib baik kerana hanya dua unit lot bahagian bawah yang dijadikan hostel pekerja tidak alami sebarang kerosakan.

Menceritakan lanjut kejadian itu, Yap berkata, api bermula dari bahagian belakang iaitu tempat mesin sebelum merebak di bahagian rak dan juga peti sejuk beku.

"Kita juga cuba menyelamatkan tempahan yang disimpan dalam sejuk beku tapi tak banyak yang dapat diselamatkan

“Akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengambil stok dari pihak ketiga untuk memenuhi tempahan,” katanya.

Jelasnya, operasi dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk beroperasi sementara menunggu tuntutan insurans.

Difahamkan punca kemalangan disebabkan litar pintas.

- Sumber: Sinar Harian 

    No comments:

    Post a Comment