Tuesday 3 February 2015

Ismail Sabri kurang matang bila suruh boikot peniaga Cina - SAMM

SAMM: Ismail Sabri kurang matang bila suruh boikot peniaga Cina - Gambar blog chegubard

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa masyarakat untuk memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang adalah satu arahan yang kurang matang dan memualkan.

Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Mohd. Faizal Ab. Rahman berkata, ia adalah bentuk pemikiran terjajah kepimpinan negara yang masih lagi terbelenggu dengan kefahaman perkauman sempit yang diluahkan seorang menteri.

"Ia akan menjadi sangat tidak matang apabila seorang pemimpin menitipkan kata-kata 'Selagi itulah Cina akan tindas Melayu' secara terbuka akan menganggu-gugat keharmonian kaum," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Faizal mengulas kenyataan Ismail yang meminta peniaga Cina memberikan sepenuhnya kerjasama untuk menurunkan harga barangan selepas pengumuman penurunan harga minyak.

Kata ismail, kedegilan pihak-pihak tertentu untuk menurunkan harga barangan boleh menyebabkan kemarahan rakyat keseluruhannya kepada kerajaan.

Mohd Faizal dalam pada itu bersetuju seandainya saranan ismail adalah untuk memerangi peniaga-peniaga yang menipu harga tanpa mengira warna kulit.

"Melayu, Cina, India atau peniaga-peniaga asing yang terus mengambil kesempatan meraih keuntungan yang besar dalam keadaan ekonomi yang lembap ini harus diberikan pengajaran. Akan tetapi, menteri memilih subjek perkauman sebagai asas hujahnya.

"Menteri sepatutnya memberikan tumpuan dan fokus kepada pengusaha pengangkutan seperti kenderaan perdagangan, lori-lori, bas sekolah, bas awam dan sebagainya untuk turut sama menurunkan harga tambang mereka.

"Kelompok-kelompok ini juga sangat lantang bersuara dan menaikkan tambang mereka semasa harga bahan bakar naik namun menteri terus mensasarkan kepada peniaga-peniaga runcit," jelasnya.

Sementara itu katanya, masyarakat Cina khususnya peniaga-peniaga Cina yang jujur dan masyarakat Malaysia keseluruhannya diminta tidak termakan dengan dakyah dan omongan tidak bijak daripada Ismail.

"Tidakkah Ismail terfikir apa yang akan terjadi kepada ekonomi domestik sekiranya semua peniaga-peniaga Cina mengambil ketetapan menutup perniagaan mereka secara serentak sebagai tanda bantahan terhadap kenyataan tersebut?," ujarnya. 

- Sumber: Media Statement | Astro Awani 

No comments:

Post a Comment