Tuesday 3 February 2015

Ismail Sabri jawab pihak yang anggap status Facebooknya bersifat rasis


KUALA LUMPUR: Setelah menerima pelbagai reaksi yang mengaitkan isu rasis, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan bahawa kenyataannya sebelum ini di laman Facebook bukanlah ditujukan kepada semua kaum Cina tetapi peniaga Cina yang masih tidak mahu menurunkan harga walaupun harga minyak sudah turun.

“Sewaktu kenaikan harga minyak mereka gunakan alasan, seolah-olah sengaja dilakukan bagi wujudkan kemarahan kepada kerajaan,” ujar beliau.

Menurut Ismail Sabri, pengguna tidak harus mengharapkan kepada kerajaan semata-mata untuk lindungi diri mereka daripada kenaikan harga tetapi perlu menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna untuk menurunkan harga.

Itu termasuklah tindakan memboikot.

Pengguna, kata beliau, merupakan kelompok majoriti manakala peniaga adalah minoriti dan tentunya kuasa majoriti mampu mengatasi suara minoriti.

“Tentang (isu) Melayu untuk boikot peniaga Cina ini, saya respon kepada Facebook yang mana mereka marah-marah kepada peniaga-peniaga Cina yang degil tidak mahu turunkan harga.

“Jadi prinsipnya sama iaitu mereka yang majoriti (perlu) gunakan kuasa majoriti dan tidak hanya merungut dan bercakap dalam Facebook semata-mata,” jelas beliau.

Ismail Sabri berpendapat, tindakan mana-mana peniaga yang tidak menurunkan harga barangan selepas penurunan harga minyak yang begitu banyak, adalah seolah-olah satu sabotaj untuk menaikkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment