Friday 2 January 2015

QZ8501: Tiga lagi mayat mangsa disahkan identitinya

Khairunisa Haidar Fauzi, merupakan salah seorang dari tiga mayat mangsa nahas yang telah dikenal pasti pakar forensik. - Gambar Instagram Khairunisa

KUALA LUMPUR: Pasukan forensik dari Pusat Pengecaman Mayat Mangsa Bencana Indonesia (DVI) Polda Jawa Timur hari ini mengesahkan identiti tiga lagi mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang Ahad lalu.

Menurut Detik.com, hasil pengecaman DNA dan sampel gigi, tiga mangsa tersebut dikenal pasti sebagai Grayson Herbert Linaksita, Khairunisa Haidar Fauzi (pramugari AirAsia) dan Kevin Alexander Sutjipto.

Perkara ini disahkan oleh Ketua DVI Polda Jawa Timur, Kombes Budiyono yang ditemui pemberita di Hospital Bhayangkara, Surabaya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berjanji akan menghantar sendiri jenazah Khairunisa kepada ahli keluarganya di Palembang.

Jasad Khairunisa sebelum ini dilaporkan ditemui lengkap berpakaian seragam pramugari penerbangan tersebut bersama tag nama.

Semalam, jenazah Hayati Lutfiah Hamid telah dikenal pasti sebagai mangsa pertama oleh pasukan forensik DVI dan telah selamat dikebumikan pada Khamis.

Pesawat QZ8501 jenis Airbus A320-200 bersama 162 penumpang dan anak kapal itu telah berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi 28 Dis 2014 dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama.

Ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi. 

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura, Malaysia dan United Kingdom (masing-masing seorang).

Pesawat dikendalikan dua juruterbang dan lima petugas kabin.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment