Friday 2 January 2015

Kerajaan campuran di Kelantan?

MUHYIDDIN: Kita tidak tolak kemungkinan kerajaan campuran di Kelantan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menafikan kemungkinan mengadakan kerajaan campuran di Kelantan demi memastikan kesempurnaan usaha baik pulih negeri itu yang terjejas akibat banjir.

Namun katanya, buat masa ini, tanggungjawab pengurusan banjir di Kelantan dan negeri-negeri lain yang terjejas akibat bencana itu masih terletak di bahu kedua-dua kerajaan.

"Tak apalah...kalau nak ada pun boleh. Kalau tak sampai ke peringkat itu...di peringkat sekarang ini kita tahu menjadi tanggungjawab kedua-kedua kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Bukan saja di Kelantan tapi negeri-negeri lain juga," katanya ketika dipetik sebuah portal di sini hari ini.

Muhyiddin dilaporkan berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Bangsar pada Rabu.

Muhyiddin mengulas saranan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub supaya PAS dan UMNO membentuk kerajaan campuran di Kelantan bagi memastikan kelancaran usaha pembinaan semula negeri itu dari segi prasarana, ekonomi dan kebajikan rakyat yang terjejas akibat banjir minggu lalu.

Jelasnya, paling penting kini adalah memastikan nasib rakyat Kelantan yang terjejas banjir terbela.

"Siapa yang bertanggungjawab untuk bantu, Perdana Menteri dah umumkan sebahagian peruntukan. Kalau tak cukup kita akan dapatkan sumbangan yang lebih supaya masalah utama dapat diselesaikan.

"Saya fikir tak semua harus dibebankan kepada Kerajaan Persekutuan, tapi dalam kes Kerajaan Kelantan kita tahu mereka tiada kemampuan. Bukan pasal politik tapi mereka tak ada sumber kewangan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar menegaskan, cadangan itu merupakan niat jahat UMNO sendiri.

Katanya, ia sekali gus seolah mahu membuktikan bahawa kerajaan Kelantan selama ini sukar menerima bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

"Saya ucap terima kasih kepada Datuk Hussamuddin yang buat cadangan ini. Tetapi melihat kepada sebalik kenyataan ini, ia menunjukkan betapa UMNO dan BN ini jahat.

"Saya gambarkan kenyataan itu sebagai bagaimana UMNO dan BN itu memiliki tiga sifat iaitu pendera, penzalim dan pembuli.

"Maknanya, kalau nak minta tolong UMNO kena ada kerajaan campuran. Dia (Hussamuddin) orang Kelantan, dia tau betapa Kelantan sudah nak dapat bantuan kerajaan pusat," katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood melihat tidak ada sebarang halangan dari segi perundangan untuk PAS dan UMNO membentuk kerajaan campuran di Kelantan.

Jelasnya, ia bagaimanapun bergantung pada persetujuan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

"Dalam parti masing-masing, saya jangka akan ada ketidaksetujuan. Sebab itu kita kena tengok dahulu, adakah UMNO setuju untuk bergabung dengan Pas di Kelantan? Itu akan jadi isu tapi secara teori, tiada masalah dan tiada kekangan undang-undang," katanya.

Ujarnya, walaupun perkara itu agak janggal, ia dilihat tidak mustahil direalisasikan jika ia diperhalusi selain kesanggupan kedua-dua belah pihak untuk berlapang dada demi rakyat dan negeri.

"Seperti kebiasaannya selepas pilihan raya, parti menang majoriti di peringkat DUN berhak melantik menteri besar. Tetapi jika PAS tidak mahu negerinya ada pembangkang, mereka boleh ajak UMNO bersama-sama dalam kerajaan negeri dengan melantik ADUN UMNO sebagai Exco dan sebagainya,” katanya.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment