Saturday 3 January 2015

Kes buli: Waris tidak akan ambil tindakan, anggap ia pergaulan kasar

Kejadian berlaku pada bulan September lalu di dalam sebuah kelas dimana ketika waktu rehat dan selepas pelajar ini menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). -Gambar: YouTube

ALOR SETAR: Pihak waris tidak akan mengambil tindakan undang-undang tetapi mahu pihak polis memberi amaran kepada mereka agar kejadian sama tidak berulang.

Klip video berdurasi seminit lima puluh saat itu tersebar di media sosial sejak malam tadi dan kini tersebar luas.

Menerusi klip video tersebut, murid berkenaan kelihatan menangis apabila disepak, ditampar dan dihentak kepala ke dinding di sebuah kelas.

Selain itu, mangsa turut diletakan bakul sampah di kepala dan kain sejadah yang dibentuk di atas kepala oleh beberapa pelajar lain.

Menurut wakil kepada keluarga mangsa, W.Thiruchandru, satu perjumpaan telah diadakan antara waris, guru besar dan pihak polis di pejabat sekolah berkenaan pagi tadi.

Dalam perjumpaan itu, ibu kepada mangsa, Sara Bibi Abdul Mutalib, 37, mahu kes ini diselesaikan dengan baik dan telah membuat surat pengakuan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang.

Malah beliau menyifatkan kes ini hanya pergaulan kasar antara kanak-kanak kerana sebelum ini anaknya, Mohd Ridzuan Mohd Ismail,12, yang kini berusia 13 tahun, merupakan rakan sekelas, cuma kurang bercampur dengan pelajar tersebut.

Bagaimanpun, dalam kes ini, ibu mangsa mahu pihak sekolah dan polis mengambil berat kejadian buli ini kerana dibimbangi akan berulang di masa hadapan dan memberi amaran kepada mereka agar tidak melakukan perbuatan itu selepas ini.

Menurut Thiruchandru, klip video itu dirakam oleh salah seorang rakan mangsa ketika waktu rehat di dalam kelas tersebut.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecederaan dan kini telah melupakan kejadian itu yang berlaku pada bulan September lalu di dalam sebuah kelas ketika waktu rehat dan selepas pelajar ini menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Md Jan berkata, pihakya masih menunggu perkembangan dari pihak sekolah dan waris untuk mengambil sebarang tindakan.

Buat masa ini, pihaknya belum menerima laporan dari pihak waris selepas satu perbincangan diadakan antara pihak sekolah dan pihak waris pagi tadi.

Beliau berharap kejadian ini dapat diselesaikan dengan baik antara kedua belah pihak.

Wakil Astro AWANI kemudian ke Sekolah Kebangsaan Iskandar di Jalan Tanjung Bendahara dan mendapati sekolah lenggang kerana masih bercuti.

Waris pelajar juga kelihatan keluar dari pejabat sekolah selepas selesai mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah berkenaan isu ini.

Namun, usaha untuk menemubual pihak waris gagal kerana mereka tidak mahu ditemubual.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Datuk Azuyah Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dimaklumkan kejadian itu oleh waris pelajar berkenaan dan kini sedang menjalankan siasatan.

Pihaknya juga telah menghantar beberapa orang pegawai pelajaran ke sekolah berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum apa-apa tindakan diambil.

Malah perbincangan bersama waris mangsa juga telah dibuat pagi tadi bagi menyelesaikan masalah tersebut.

- Sumber: Astro Awani | Januari 03, 2015

No comments:

Post a Comment