Saturday 3 January 2015

Keluarga teruskan usaha mencari

  • Usaha mencari kanak-kanak berusia 2 tahun yang dikhuatiri lemas masih diteruskan oleh sanak saudara walaupun pasukan penyelamat sudah menghentikan operasi. Gambar kecil: Azilawati hanya mampu berdoa agar mayat anaknya ditemui dalam apa jua keadaan.
  • Usaha mencari kanak-kanak berusia 2 tahun yang dikhuatiri lemas masih diteruskan oleh sanak saudara walaupun pasukan penyelamat sudah menghentikan operasi. Gambar kecil: Azilawati hanya mampu berdoa agar mayat anaknya ditemui dalam apa jua keadaan.

PASIR MAS - Seorang kanak-kanak berusia 2 tahun dikhuatiri lemas apabila terlepas daripada pelukan ibunya semasa melawan arus deras banjir di pintu air Lembaga Kemajuan Kemubu (Kada), Tok Uban, di sini pada 26 Disember lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari dan ketika itu mangsa, Adam Harris Mat Jumari dibawa ibunya, Nor Azilawati Musa, 40, dan bapanya, Mat Jumari Lomak, 30, untuk berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Uban selepas rumah mereka ditenggelami air.

Azilawati berkata, semasa kejadian, dia bersama Mat Jumari serta tiga anak mereka cuba menyeberangi laluan tersebut untuk menyelamatkan diri daripada musibah banjir.

"Sebelum melintas, saya suruh suami saya bawa barang-barang kerana arus air deras walaupun hanya setinggi paras lutut pada waktu itu.

"Kami memberanikan diri meredah air di laluan itu selepas jiran kami beritahu mereka berjaya melepasinya," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Mengenang kembali saat kejadian, Azilawati berkata, sebaik tiba di tengah-tengah laluan pintu air Kada itu, dia terjatuh dan dihanyutkan oleh arus deras air banjir.

Katanya, ketika itu Adam Harris masih berada dalam pelukannya dan hanya kematian bermain di fikiran.

"Saya reda jika ALLAH SWT menjemput kami berdua pada ketika itu. Namun, mujur suami sempat menarik tangan saya dan ketika itulah baru saya sedari, Adam Harris sudah tiada dalam pelukan saya," katanya dalam nada sebak.

Menceritakan lebih lanjut berkenaan kejadian itu, Azilawati memaklumkan, turut bersama mereka pada ketika itu adalah dua anak saudaranya yang juga dalam perjalanan untuk berpindah.

Tambahnya, kini dia tidak putus-putus berdoa semoga mayat anaknya itu ditemui secepat mungkin dan usaha mencari mangsa diteruskan oleh sanak saudaranya, selepas pasukan penyelamat menghentikan operasi mencari setelah menemui jalan buntu.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment