Sunday 25 January 2015

Kelam kabut bas rempuh pelajar KPTM

GUA MUSANG – Suasana tenang di Hentian Bas di Bandar Baru, di sini, petang kelmarin, bertukar kelam kabut apabila berlaku insiden ngeri sebuah bas merempuh lima penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menyebabkan seorang maut dan dua cedera manakala dua lagi terselamat.

Mangsa yang maut dikenali Nur Kharunnisa Hamzah, 20, berasal dari Rawang Selangor manakala yang cedera parah Nor Aina Sofia Mohd Salleh, 18, dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Seorang lagi cedera ringan Norhaslili Shafikah Hasbullah, 20, berasal dari Bukit Permai, Kuala Lumpur manakala dua lagi rakan mereka yang terselamat Siti Nurfalinda Mohd Asri, 18 dan Nur Asila Atiqah Shahruddin, 18.

Pemandu bas yang pengsan ketika hendak memberhentikan kenderaannya, Mohd Rashid Yaacob, 53, berasal dari Kampung Chiku 5, Gua Musang dan kini sedang dirawat di Hospital Gua Musang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.50 petang ketika bas dari Kuala Krai ke Gua Musang itu cuba berhenti untuk menurunkan penumpang di hentian terbabit.

Beliau berkata, pemandu bas berkenaan dipercayai sakit perut sebelum bas itu hilang kawasan dan bergerak sendiri menuruni bukit sebelum merempuh lima penuntut KPTM yang kebetulan melalui kawasan itu.

“Lima penuntut KPTM melalui kawasan itu selepas membeli barang makanan di tapak expo bersebelahan hentian bas dan hendak pulang ke tempat penginapan terletak 100 meter dari situ,” katanya.

Saiful Bahri berkata, kelima-lima mangsa dirempuh dari belakang dan mangsa yang maut berada di sebelah kanan sekali manakala dua yang cedera tercampak ke dalam longkang sementara dua lagi tidak mengalami kecederaan. 

Katanya, sebaik bas itu merempuh mangsa, kenderaan berkenaan yang terus bergerak sejauh 20 meter turut merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kenderaan TNB itu diparkir di tempat kejadian.

Tambahnya, mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di lokasi nahas dan mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya pagi ini untuk dibawa balik ke Rawang, Selangor.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment