Sunday 25 January 2015

Awie: Pengajaran buat dia!

Awie

Awie dan anak-anaknya.

DI sebalik kemelut rumah tangganya, penyanyi rock, Awie mengakui tindakan yang diambil terhadap isterinya, Rozana Misbun, 37 itu adalah semata-mata mahu memperjuangkan hak anak-anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Menganggap anak adalah segala-galanya, vokalis kumpulan Wings itu mahu Rozana memulangkan semula apa yang telah diamanahkan kepadanya.

“Apa jua hak anak-anak, saya minta dia kembalikan semula di mana sebelum ini saya pernah mengamanahkan sejumlah wang kepadanya untuk menguruskan kebajikan anak-anak jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada saya.

“Anak-anak adalah segala-galanya buat diri saya dan kebajikan untuk mereka memang saya utamakan,” tegasnya.

Mengulas lebih lanjut, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47 memberitahu sejak awal perbalahan, dia tidak pernah membangkitkan soal penceraian terhadap rumah tangganya itu.

“Sebenarnya bukan niat saya untuk bercerai tapi untuk memberi pengajaran kepadanya seterusnya bertaubat.

“Salah ke sebagai seorang suami saya mahu beri pengajaran kepada isteri saya yang tidak amanah itu.

“Tapi saya tidak mahu terlalu memikirkan soal ini kerana apa yang penting sekarang adalah anak-anak,” ujarnya.

Pada 14 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur telah membatalkan hak penjagaan sementara tiga anak yang diperoleh Awie. Keputusan itu membenarkan kedua-dua pihak mempunyai sama hak ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka itu.

Sedia derma organ

Beralih pada perkembangan terbaharunya, selain sibuk membuat persiapan Konsert Wings Menakluk Kosmos di MITC, Melaka pada 31 Januari ini, Awie turut sibuk dengan aktiviti kebajikannya.

Dilantik sebagai ikon dalam Pertubuhan Rakan Sihat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Awie memberitahu beberapa program telah diaturkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Baru-baru ini saya ke Kelantan dalam misi bantuan mangsa banjir. Melihatkan keadaan di sana saya terpanggil untuk berikrar apabila saya meninggal satu hari nanti, saya mahu mendermakan semua organ badan kepada mana-mana pihak yang memerlukan.

“Melihatkan kebaikan yang ada, saya mahu menyeru kepada masyarakat dan rakan-rakan yang lain untuk turut sama melakukan perkara yang sama.

“Lagi pun bila sudah meninggal dunia, hanya jasad yang tinggal dan roh akan ke alam lain. Jadi daripada badan di makan bumi, jadi lebih baik kita berikan kepada yang memerlukan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment