Friday 9 January 2015

Charlie Hebdo: Mengapa kartunis jadi sasaran?


Insiden serangan bersenjata di pejabat akhbar satira, Charlie Hebdo membuka mata banyak pihak tentang kebebasan media.


Dalam insiden pada Rabu di kota Paris, 12 individu terbunuh dalam serangan bersenjata melibatkan tiga individu bertopeng, didakwa militan Islam, yang merempuh masuk pejabat akhbar tersebut dan seterusnya melepaskan tembakan rambang.

Ketua Pengarang Stephane Charbonnier (juga dikenali sebagai Charb) serta kartunis Cabu, Tignous dan Wolinski antara 10 kartunis yang terbunuh dalam serangan itu.

Namun, persoalannya, kenapa golongan kartunis pula yang menjadi sasaran?

Untuk rekod, ini bukan kali pertama serangan bersenjata dilakukan terhadap golongan kartunis. Washington Post dalam laporannya menyebut beberapa kes terdahulu yang telah mencetuskan kemarahan, terutamanya dalam kalangan umat Islam, terhadap kartunis.

Semuanya bertitik tolak daripada tindakan mereka yang dianggap biadap dan menghina melalui lakaran atau karikatur yang memaparkan mimik wajah yang menghina Nabi Muhammad SAW, nabi junjungan umat Islam.

Berikut adalah beberapa insiden melibatkan serangan ke atas golongan kartunis:

1. Nama Charlie Hebdo tidak asing lagi dalam isu ini. Akhbar mingguan ini sering mempermainkan sentimen dan ideologi agama, resipi yang sudah cukup untuk menjadikan akhbar itu sebagai fokus ketidakpuasan hati ramai pihak.

Pada 2011, mereka menerbitkan beberapa karikatur menghina Nabi Muhammad dan menukar nama akhbar kepada ‘Charia Hebdo’ yang mengejek perkataan ‘syariah’.

Pada tahun 2012, pejabat Charlie Hebdo telah dibom dan laman sesawangnya digodam. Dilaporkan tiada nyawa yang terkorban dalam serangan tersebut. Dalang di sebalik kejadian berkenaan masih bebas dan kerajaan beranggapan ia dilakukan pihak militan.

Namun, selepas tragedi itu, akhbar berkenaan sebaliknya memperhebatkan lagi penghasilan kartun yang memaparkan Nabi Muhammad.



French Shooting
Seorang mangsa diusung ke ambulans selepas serangan bersenjata di pejabat akhbar satira Perancis 'Charlie Hebdo' di Paris pada 7 Jan 2015.  -Foto AP/Thibault Camus




2.  Pelukis kartun Belanda, Kust Westergaard menjadi sasaran utama dalam rancangan pembunuhan sekitar tahun 2008.

Kemudian diikuti dengan artis Lars Vilks yang menerima ugutan bunuh selepas lukisannya telah diterbitkan akhbar Nerikes Allehanda di Sweden.

Kedua-dua kes tersebut membabitkan kontroversi yang wujud oleh gambaran grafik Nabi Muhammad yang dihasilkan mereka.



French shooting
(Dari kiri) Timbalan Ketua Pengarang Bernard Maris, Georges Wolinski, Jean Cabut (Cabu), Charb, dan Tignous. - Foto AFP/Guillaume Baptiste/Bertrand Guay/Francois Guillot




3.  Pada tahun 2005, sebuah akhbar Belanda, Jylland Posten, dilaporkan mencari pelukis ilustrasi yang sanggup melukis wajah atau karikatur Nabi Muhammad. Ia susulan kesukaran penulis, Kare Bluitgen mencari kartunis yang mahu melukis Nabi Muhammad untuk bukunya.

Kesukaran berlaku ekoran insiden pembunuhan pembikin filem Theo Van Gogh yang dibunuh pihak pelampau pada tahun 2004 selepas menerbitkan filem pendek ‘Submission’ yang mengkritik bagaimana wanita Islam dilayan.




Akhirnya, 12 karikatur Nabi Muhammad telah dikeluarkan Jylland Posten termasuk sebuah lakaran Westergaard yang menunjukkan Nabi Muhammad memakai bom sebagai serban.

Pihak penerbitan akhbar berkenaan telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan orang Islam di Belanda yang mendakwa tindakan berkenaan adalah satu penghinaan buat umat Islam.

Ia kemudiannya menjadi kes antarabangsa apabila, 57 negara dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam tindakan tersebut dan Arab Saudi telah menarik kedutaannya di Belanda.

Pada tahun 2007, akhbar Charlie Hebdo telah menerbitkan semula karikatur tersebut dan ditambah dengan koleksi lukisan mereka sendiri.


4.  Kartunis Belanda Gregorius Nekschot telah menerima sokongan dan kritikan untuk kartunnya yang dihasilkan mengenai Islam. Dia kemudian ditahan di bawah tuduhan ‘menghina’ pada tahun 2008.




5.  Artis Sweden, Vilks telah melukis gambar Nabi Muhammad sebagai satu ukiran jalanan dan diberi tajuk ‘ A Roundabout Dog’ pada tahun 2007. Lukisan tersebut telah dikeluarkan daripada pameran seni tempatan.

Menurut Washington Post, ukiran jalanan tersebut telah diterbitkan semula oleh beberapa akhbar dan sekali lagi menimbulkan kemarahan dan ancaman.


6.  Pada tahun 2010, pencipta kartun terkenal Amerika, South Park telah menerima ugutan apabila telah beberapa kali memaparkan kartun Nabi Muhammad.

Kartunisnya, Molly Norris kemudian mengisytiharkan bahawa 20 Mei setiap tahun adalah ‘Hari Melukis Muhammad’.


7. Pada tahun 2012, akhbar Onion mencetuskan kemarahan dengan menerbitkan sebuah artikel bersama foto yang menunjukkan Moses, Jesus Christ, Ganesha dan Buddha melakukan hubungan seks  - bertajuk ‘No One Murdered Because Of This Image’.


Mungkin apa yang berlaku ini berkisar daripada apa yang telah dipaparkan di dada penerbitan mereka. Keceluparan mereka sendirilah yang mengundang padah.

Namun begitu, walau apa pun bentuk provokasi yang dilemparkan, umat Islam tidak seharusnya menggunakan kekerasan bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Tindakan menyerbu dan menembak mati kartunis di Paris Rabu lalu hanya akan meningkatkan lagi sentimen anti-Islam masyarakat dunia terhadap penganutnya yang dahagakan keamanan.

Kebebasan media bukan tiket untuk menghina orang lain dan pegangan mereka. Golongan kartunis juga perlu menggunakan budi bicara sewajarnya dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat untuk mengelak terjadinya perkara yang tidak diingini.

- Sumber: Agensi, melalui Astro Awani 

No comments:

Post a Comment