MULA melangkah dalam industri seni sebagai pelakon, namun keputusan untuk berhijrah tiga tahun lalu, mengubah cabang kerjaya seninya. Malah, penghijrahan dan imej Muslimah pemilik nama sebenar, Nurdiyana Amir Hashim, ini membawa kepada peluang baharu dalam bidang pengacaraan.


Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk pengacaraan, motivasi dan menulis, namun Diana Amir tetap merindui dunia lakonan. Malah, pelakon filem Salam Cinta, ini pernah memberitahu bahawa sekiranya ada tawaran lakonan yang bersesuaian dengan watak dan masa, dia akan menerimanya.

Setelah sekian lama menunggu untuk kembali aktif di lokasi penggambaran, akhirnya tahun ini penantian itu membuahkan hasil.

Diberi peranan menggalas watak utama menerusi drama bersiri untuk slot Zehra, Cinta Ilahi, isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman, ini menyifatkan ianya sebagai rezeki anak.

"Alhamdulillah, kini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri ini sehingga hujung September. Sebelum ini, ada juga berlakon, cuma bukan selalu.

"Bidang pengacaraan banyak membantu saya untuk selesakan diri di hadapan kamera. Saya menganggap drama ini sebagai rezeki anak setelah lama tidak diberi peranan utama," katanya yang sedang hamil empat bulan.


Tambah Diana, dalam drama berkenaan, dia memegang watak sebagai Maryam dan bergandingan bersama pelakon, Johan As'ari.


Dalam drama ini, Diana memberitahu, Maryam seorang yang sangat lemah lembut, pandai mengaji, mengajar di surau, tinggi ilmu agama dan pelajar jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

- Sumber: Sinar Harian