PENGHIJRAHAN imej Mizz Nina sebaik pulang daripada mengerjakan ibadah haji pada Oktober 2013, sememangnya mengejutkan ramai. Apatah lagi, tidak perlu menunggu lama atau membuat sebarang pengumuman, Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 34, perlahan-lahan bertukar imej.
 
Lebih membanggakan lagi, transformasi Ratu Hip Hop ini tidaklah hanya terletak pada imejnya semata-mata, sebaliknya ia turut mencakupi aspek muzik dan karier seninya. Biarpun mengambil keputusan untuk berehat panjang dan hanya akan menyanyi di depan wanita sahaja selepas ini, isteri kepada vokalis Hujan, Noh, turut mempunyai agenda baharu iaitu membuka butik Muslimah.

Ternyata, darah seni yang mengalir di dalam tubuhnya tidak hanya kepada industri hiburan semata-mata, tetapi juga kepada dunia fesyen.

“Saya rasa inilah masa yang baik untuk saya berehat panjang daripada nyanyian. Buat masa ini, saya mahu beri fokus sepenuhnya kepada perniagaan saya. Jadi, boleh juga dikatakan akan tinggalkan dunia nyanyian buat masa ini. Sampai bila saya tak pasti. Lagipun saya mahu menyanyi di hadapan penonton wanita sahaja selepas ini,” katanya.


Mizz Nina beri tumpuan pada Madeena

“Alhamdulillah, sudah lama saya impikan untuk membuka butik sendiri dan hari ini (Sabtu), ALLAH SWT telah mengizinkan segalanya. Saya rasa bertuah dengan pembukaan butik Madeena,” kata Nina dalam nada teruja sebaik ditanya media mengenai perasaannya selepas pelancaran butik dan kafe miliknya.

Ujarnya, dia sudah lama mengimpikan untuk membuka butik tersebut apatah lagi selepas melihat sambutan hangat terhadap jenama tersebut menerusi perniagaan atas talian sebelum ini. Tambahnya, selepas merancang untuk membuka butik tersebut kira-kira hampir dua tahun yang lalu, segala-galanya bagai dipermudahkan.

“Sebelum ini saya hanya menjual menerusi laman web, madeena.my dan fashionvalet.com. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Madeena menyediakan jubah wanita, abaya, hijab, ada juga jaket, skirt panjang yang sesuai dengan fesyen terkini dan paling penting, menutup aurat.

“Setakat ini, kami juga dapat banyak undangan untuk sertai bazar dan juga pertunjukan fesyen seperti KL Fashion Week. Saya bersyukur kerana saya mempunyai satu tema yang sangat bekerja keras dan mempunyai pereka fesyen yang memahami apa yang saya mahu,” katanya yang cuba menjual koleksi berlainan di laman web dan butik.

Memilih membuka butiknya di Heritage Lane, Empire Damansara, Damansara Perdana, Nina menjelaskan, dia jatuh cinta dengan lokasi dan konsep yang diketengahkan di situ.

“Saya akui tempat ini masih baru, tapi saya suka dengan suasananya, seperti pusat beli-belah di luar negara, santai dan eksklusif. Pada mulanya saya merancang membuka butik saya di sebuah lokasi di Kota Damansara, tetapi selepas seorang rakan memperkenalkan lokasi ini pada saya, saya tidak berfikir panjang untuk mendapat lot kedai di sini,” katanya.


- Sumber: Sinar Harian