Siti Fatimah Muhamad (gambar) tinggal bersama-sama tujuh anak, dua menantu dan empat cucu. -fotoBERNAMA
KOTA BAHARU: Kerana kedaifan, seorang ibu tunggal terpaksa menjadikan sebuah bangsal buruk beratapkan plastik, bertiangkan buluh dan berlantaikan tanah sebagai tempat buat dirinya dan 13 anggota keluarga untuk berteduh daripada panas dan hujan sejak empat tahun lalu.
Di bangsal yang bila-bila masa boleh menyembah bumi itu, Siti Fatimah Muhamad, 56, tinggal bersama-sama tujuh anak, dua menantu dan empat cucu.
Baginya, itulah syurga buat diri dan keluarganya selepas kematian suami, Mat Amin Awang Yusoff, tiga tahun lalu.
"Dahulu makcik ada rumah papan tapi roboh kerana anai-anai dan kerana miskin kami hanya mampu membina bangsal ini yang bersebelahan dengan rumah lama.
"Kami anak beranak hanya ada pendapatan kecil selain ditampung bantuan bulanan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) sebanyak RM250," katanya kepada pemberita sewaktu dikunjungi Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian Datuk Muhammad Abdul Ghani di Kampung Demit di sini Selasa.
Siti Fatimah berkata anak-anak dan dua menantunya hanya bekerja kampung dan mereka tidak mampu mendapatkan rumah lebih selesa daripada itu.
Beliau juga kini dalam dilema apabila tanah tapak bangsal yang didudukinya menjadi pertikaian keluarganya yang lain.
Menurutnya, tanah itu merupakan peninggalan bapa angkatnya tetapi memandangkan bapa angkatnya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu, adik-beradik angkatnya menuntut tapak bangsal berkenaan.
"Bapa (angkat) tidak sempat untuk menukar nama hak tanah tersebut menyebabkan adik-beradik (angkat) yang lain menuntut dengan menghalau kami. Ke mana kami mahu pergi," katanya dengan nada gusar.
Siti Fatimah berkata keutamaannya hanya mengharapkan diberi tempat tinggal yang selesa memandangkan tempat berteduh kini terlalu daif dan mengancam keselamatan.
Sementara itu, Muhammad berkata pihaknya akan berusaha membantu keluarga berkenaan termasuk mendapatkan sebuah rumah.
"Kita akan cuba bantu keluarga ini dengan menyediakan rumah kerana kehidupan mereka ini terlalu daif. Mereka tiada tanah tetapi tak semestinya kita tidak boleh sediakan rumah untuk mereka," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment