Tuesday 8 July 2014

Denggi semakin mengganas: Jabatan Kesihatan tubuh pasukan khas

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani wabak denggi yang semakin serius di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata ia dianggotai pelbagai pihak termasuk anggota tentera dari Kem 8 Briged Pengkalan Chepa.

"Pasukan khas ini tugasnya khusus untuk mencari dan musnahkan tempat pembiakan nyamuk dan mereka dijangka mula turun ke lapangan Ahad ini," katanya kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini.

"Selain itu, kita juga telah menggerakkan Jawatankuasa Wabak Negeri di bawah kendalian Majlis Keselamatan Negeri (MKN) untuk meminta bantuan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)," jelasnya.

Turut hadir Pengarah HRPZII Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan. Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menangani kebimbangan umum tentang peningkatan kes demam denggi di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Ahmad Razin berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, 2,898 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Kelantan.

Faktor hujan dan panas merupakan antara sebab kenaikan mendadak kes demam denggi itu, katanya sambil menambah daerah yang paling teruk terjejas ialah Kota Baharu dan Tumpat.

Sementara itu, Ghazali berkata pihaknya akan menyediakan wad khas untuk menampung pesakit demam denggi dari sekitar Kota Baharu.

"Kalau perkara ini serius kita akan sediakan lebih banyak wad dan pembedahan yang boleh ditangguhkan, kita tangguhkan bagi memberi laluan kepada pesakit demam denggi.

"Semalam, 106 pesakit demam denggi dilaporkan berada di HRPZII untuk mendapatkan rawatan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment