Tuesday 8 July 2014

Lelaki maut dihempap jengkaut yang dipandu sendiri

Mangsa Mohd Besri Said, 36, yang tersepit di bawah jengkaut. --AWANI/SALIM AZIZ


LANGKAWI: Seorang pemandu jengkaut maut dihempap kenderaan itu yang dipandunya sendiri setelah dikatakan hilang kawalan dan terbalik di Kampung Bukit Masjid, Mukim Kedawang, di sini petang Isnin.

Dalam kejadian pukul 4.05 petang itu, mangsa Mohd Besri Said, 36, dari Kampung Ranggut, Mukim Padang Matsirat meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli, 40an, berkata pemandu jengkaut itu sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih jalan kampung di kawasan yang bertebing curam.

Kejadian berlaku pantas apabila jentera berat yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terus terbalik ke sebelah kanan sebelum menghempap mangsa.

“Saya sempat menjerit supaya mangsa terjun tetapi terlambat apabila mangsa dihempap sebelum darah memancut keluar dari kepala mangsa yang cedera parah," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya operasi mengeluarkan mayat mangsa tamat kira-kira 5.45 petang sebelum dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

Jenazah mangsa telah dituntut keluarga pada sebelah malam untuk dikebumikan selepas solat Tarawih di kampung halamannya.

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment