Monday 24 March 2014

Jatuh imej lokasi tumpuan


Kelibat seorang peminta sedekah yang duduk di pintu masuk sebuah pusat membeli-belah. - Foto Sinar Harian


ALOR SETAR - Buat duit tanpa perlu bersusah payah dapat digambarkan kepada keadaan beberapa peminta sedekah di sekitar pusat bandar Alor Setar.

Tinjauan mendapati ada peminta sedekah berkumpul di hadapan bank, malah ada juga di hadapan kompleks membeli belah, jejantas, kaki lima serta berjalan kaki dari satu kedai ke kedai lain.

Dengan hanya mengenakan baju lusuh, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an, duduk meminta sedekah daripada orang ramai yang memasuki sebuah kompleks membeli-belah, dekat sini.

Pelanggan, Mohd Fauzi Hashim, 29, berkata, peminta sedekah yang duduk berhampiran tangga kompleks membeli-belah didapati adalah individu serupa meminta sedekah di atas jejantas penjalan kaki berhampiran Hentian Bas Pekan Rabu.

Katanya, peminta sedekah boleh mendapat untung apabila meminta sedekah di kawasan terkenal namun imej kawasan terbabit kemungkinan akan terjejas.

"Sebelum ini dia dilihat meminta sedekah di sana, namun kemudiannya menghilang sekejap. Rupa-rupanya, dia mengubah lokasi dengan meminta sedekah di kawasan ini pula.

"Tak kira sama ada kawasan sebelum ini mahupun kini, yang pastinya kemunculannya meminta sedekah di kawasan tumpuan ramai sebegini seakan-akan tidak kena pada tempat dan masanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Solehah Sulaiman, 56, aktiviti sedemikian perlu dipantau sebaiknya supaya tidak menjatuhkan imej kawasan menarik ini di mata pelancong antarabangsa khususnya.

Menurutnya, kehadiran golongan terbabit dalam keadaan tidak terurus juga dikhuatiri mengundang ketidakselesaan dan meminta pihak berkaitan mengenakan tindakan sewajarnya.

"Saya rasa kalau peminta sedekah ini duduk sahaja tanpa buat apa-apa memang salah.

"Sekurang-kurangnya jikalau dia menyanyi, itu bermakna dia menjual bakat. Apabila menjual ubat-ubatan mahupun tisu, itu berniaga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment