Monday 24 March 2014

Masih boleh dicari jika bateri habis

Masih boleh dicari jika bateri habis
Kotak hitam merekod situasi penerbangan serta mengukur kestabilan pesawat.


SHAH ALAM - Kotak hitam masih boleh dicari walaupun tiada isyarat dipancarkan selepas kehabisan bateri.

Pakar teknologi penerbangan udara, Ir Abu Hanifah Abdullah berkata, kapal tertentu yang mempunyai kepakaran mengesan kotak hitam tetap boleh menemui peralatan itu berdasarkan cirinya yang tahan lasak dan tidak mudah rosak.

“Pencarian kotak hitam dibuat berdasarkan isyarat dipancarkan. Jika kehabisan bateri, kotak hitam yang berwarna oren memudahkan kapal yang mencarinya.

“Selain itu, rekaan kotak hitam sudah mengambil kira keadaan terburuk yang akan dihadapi pesawat. Kebiasaannya, kotak hitam tidak terjejas walaupun pesawat mengalami kerosakan teruk akibat terhempas dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ketika ditanya mengenai keupayaan kotak hitam mengeluarkan isyarat, katanya, ia bergantung kekuatan bateri.

“Kekuatan bateri pula bergantung kepada pengeluar kotak hitam, tidak semestinya 30 hari,” katanya.

Mengulas lanjut fungsi kotak hitam, beliau berkata, peralatan itu merekod segala aktiviti dan maklumat pesawat.

“Kotak hitam terdiri daripada perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit. Perakam data penerbangan merekod segala data berkenaan pesawat.

“Perakam suara kokpit, merakam percakapan dan segala bunyi di dalam kokpit. Kedudukan kotak hitam biasanya di ekor pesawat kerana paling selamat,” katanya.

Merujuk insiden kehilangan pesawat MH370, beliau berkata, apa yang penting ialah mencari pesawat terlebih dahulu.

“Selepas ditentukan sama ada ia terhempas atau tidak, baharulah pencarian boleh ditumpukan kepada kotak hitam. Ini kerana, kotak hitam bukan digunakan untuk tujuan keselamatan.

“Data kotak hitam digunakan bagi mengkaji faktor kemalangan pesawat berlaku. Jika kritikal, kita cari jalan halang ia berulang kepada pesawat lain,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment