Thursday 27 February 2014

Penduduk diarah berhenti cari syling lama

Mohd Amar Nik Abdullah - Gambar Fail

KOTA BAHARU: Penduduk Kampung Kubang Pak Amin, Pasir Mas diarah memberhentikan kerja mencari duit syiling lama di tebing sungai berhampiran kampung berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata arahan mengosong serta memberhentikan kerja cari gali artifak itu di kawasan tersebut dikeluarkan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK).

"Pihak muzium telah mengeluarkan larangan itu kepada Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas agar mengawal kawasan tersebut dan diharap penduduk juga mematuhinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kelantan-Linxia Makanan Halal Antarabangsa Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini pada Rabu.

Mohd Amar berkata penduduk dinasihatkan tidak lagi mencari duit syiling lama di kawasan itu kerana ia melibatkan akta barangan purba selain tertakluk kepada akta Warisan Negara.

"Kita mahu rakyat mematuhi arahan ini kerana ia melibatkan undang-undang dan Warisan Negara yang perlu sentiasa dipelihara," katanya.

Baru-baru ini akhbar melaporkan penemuan syiling lama di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Kubang Pak Amin yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sejarah kerajaan lama di negeri ini.

Mohd Amar berkata penemuan itu menarik minat penduduk kampung berkenaan untuk mencari gali tinggalan sejarah itu dengan giat menggunakan pelbagai kaedah termasuk alat pengesan.

"Kawasan berkenaan kini seolah-olah seperti pesta dengan orang ramai tidak putus-putus datang mencari artifak peninggalan sejarah tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Pasir Mas, Adnan Hussin berkata kawasan tersebut kini dalam proses penutupan bagi menghalang penduduk daripada mencari gali artifak tersebut.

"Kita telah membuat pemantauan bagi mengenal pasti kaedah yang sesuai menjaga kawasan terbabit daripada terus dimasuki penduduk," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment