Friday 14 February 2014

Aedes: Kem PLKN dipantau

nyamuk aedes denggi

KUALA KANGSAR - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sentiasa memantau kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi membasmi pembiakan nyamuk aedes.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata setakat ini tiada kes yang dilapor di semua kem di seluruh negara.

"Kita telah berhubung dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan untuk ambil tindakan sesuai bagi memastikan denggi tidak merebak di kem PLKN.

"Saya juga minta pengusaha kem untuk ambil tindakan sesuai kalau ada elemen yang boleh menyebabkan denggi merebak di kem mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Desa Rimba dekat sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu diambil berikutan peningkatan kes denggi di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Abdul Hadi berkata selain itu melalui program khidmat komuniti yang disertai pelatih PLKN, mereka digalak memfokus kepada usaha menghalang pembiakan nyamuk aedes.

"Pelatih PLKN bersama Briged Sukarelawan Khidmat Negara akan mengadakan aktiviti dalam masa satu atau dua minggu lagi melalui program khidmat komuniti dan saya harap mereka akan fokus kepada tempat tertentu yang boleh mengelak denggi daripada merebak," katanya.

Beliau berkata untuk tujuan itu, mereka boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan tempatan dan masyarakat setempat untuk membersihkan kawasan persekitaran.

Kini terdapat 32,000 pelatih yang sedang menjalani latihan di 79 kem PLKN di seluruh negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment