Friday 14 February 2014

'Risiko bagi kami jika mereka serah diri'

Sabah diceroboh

KOTA KINABALU - Seorang komando VAT69 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau dan pasukannya terdedah kepada bahaya jika beliau memberi opsyen kepada tiga penceroboh bersenjata yang ditembak mati di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada 6 Mac, untuk menyerah diri.

Inspektor Shahar Omar berkata, pada masa itu, beliau tidak pasti sama ada terdapat lagi anggota kumpulan penceroboh selain tiga orang yang telah ditembak mati.

"Kalau bagi mereka serah diri, ia akan menjejaskan atau mendedahkan kedudukan saya dan pasukan saya dan akan memberi risiko ancaman kepada saya dan pasukan saya," katanya.

Semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed tentang apakah yang beliau faham perkataan 'serah diri', Shahar berkata ia bermakna kumpulan penceroboh mesti mengangkat kedua-dua belah tangan dan meletak senjata.

Abdul Wahab: Sepanjang menjalankan tugas di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, ada atau tidak penceroboh bersenjata mengangkat tangan dan melepaskan senjata?

Shahar: Tiada.

Semasa pemeriksaan balas, Shahar tidak bersetuju dengan peguam Datuk N Sivananthan bahawa ketiga-tiga penceroboh yang bersenjata parang tidak menimbulkan apa-apa ancaman kepada pasukannya mengandungi 12 anggota yang membawa senjata. 

Ketika disoal oleh Sivananthan bagaimanakah kumpulan penceroboh boleh memberi ancaman kepada pasukannya, Shahar berkata ketiga-tiga penceroboh memakai pakaian tentera dan sebelum insiden di Kampung Tanjung Batu, risalah telah digugurkan memaklumkan mana-mana penceroboh yang hendak menyerah diri tidak dibenar membawa apa-apa senjata.

Dalam tembak-menembak di Kampung Tanduo membabitkan pasukannya di sektor A pada 1 Mac, Shahar berkata kuasa tembakan daripada senjata kumpualan penceroboh adalah lebih kuat daripada pasukannya.

Beliau berkata anggota pasukannya membawa senjata M16 (M203) dan dua Bushmasters (senjata tempur) yang boleh memuntahkan peluru 5.56mm.

Sivananthan: Ada tak mana-mana anggota kamu menggunakan peluru 7.62mm?

Shahar: Tidak, bukan pasukan saya.

Sivananthan: Dalam VAT69, adakah peluru-peluru ini digunakan dalam mana-mana senjata?

Shahar: Dalam VAT69, peluru berkenaan digunakan bagi senjata bantuan.

Sivananthan: Dalam konteks kuasa tembakan, adakah senjata-senjata bantuan itu lebih hebat?

Shahar: Ya

Sebelum itu, Shahar memberitahu mahkamah bahawa ada lebih daripada dua orang penceroboh yang melepaskan tembakan terhadap pasukannya mengandungi 18 anggota di Kampung Tanduo dan bahawa kuasa tembakan senjata penceroboh lebih hebat daripada pasukannya.

Ketika disoal oleh Sivananthan mengapa kuasa tembakan kumpulan penceroboh lebih kuat daripada pasukannya sedangkan terdapat lebih daripada dua orang penceroboh dan 18 anggota dalam pasukannya, Shahar berkata kuasa tembakan senjata yang memuntahkan peluru 7.62mm adalah lebih kuat daripada senjata yang melepaskan peluru 5.56mm.

"Adakah kamu bermaksud bahawa musuh (penceroboh) menggunakan peluru 7.62mm," tanya Sivananthan.

"Sesetengah menggunakan peluru 7.62mm, sesetengah pula guna peluru 5.56mm," jawab Sahar.

Tiga puluh orang tertuduh, 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan.

Sesetengah mereka menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau memberi perlindungan kepada individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung bersambung esok. Perbicaraan diadakan di Jabatan Penjara Sabah. - Bernama

No comments:

Post a Comment