Friday 14 February 2014

Tidak mahu bersalin di penjara

Tidak mahu bersalin di penjara
Tertuduh cuba melindungi wajahnya daripada dirakam petugas media semasa dibawa keluar dari mahkamah.


AYER KEROH - Mahkamah Majistret di sini, memerintahkan seorang wanita yang sarat mengandung dipenjarakan selama 18 bulan kerana menipu seorang lelaki untuk berkahwin sehingga menyebabkan mangsa rugi RM29,800 dua tahun lalu.

Majistret Syajaratudur Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mimi Sahima Ismail, 29, selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 27 tahun untuk mempercayai bahawa dia akan berkahwin dengannya dan memulangkan wang yang dipinjam sehingga mendorong mangsa memasukkan wang sebanyak RM2,140 secara berperingkat antara 25 Mei dan 7 Jun 2012.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perkara yang sama sehingga mangsa terdorong memasukkan wang sebanyak RM4,100 secara berperingkat ke akaun tertuduh antara 16 Mei dan 9 Jun 2012.

Untuk pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan perkara sama sehingga mangsa bersetuju memasukkan RM12,150 secara berperingkat ke akaun tertuduh antara 31 Mei dan 6 Oktober 2012.

Dalam pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama sehingga mangsa memasukkan RM11,450 secara berperingkat ke dalam akaun tertuduh antara 10 Mei 2012 dan 26 April tahun lalu.

Kesemua kejadian ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam manakala tertuduh diwakili seorang peguam bela Pelatih Dalam Kamar (PDK).

Sementara dalam rayuannya, tertuduh memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang ringan atas alasan ingin bersalin di sisi ibunya dan tidak mahu bersalin di penjara.

Bagaimanapun, Nabilah memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana jumlah wang dalam kes ini tidak dapat dikembalikan.

“Lebih memalukan apabila tertuduh berjanji untuk berkahwin dengan mangsa tetapi sebaliknya berlaku apabila tertuduh sebenarnya telah berkahwin dengan lelaki lain,” katanya.

Dalam penghakimannya, Syajaratudur memerintahkan tertuduh di penjara selama 18 bulan bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, semua hukuman itu akan berjalan serentak.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment