Wednesday 15 January 2014

Polis tahan pemilik farmasi bantu siasatan kes rompak guna M16

Jalaluddin Abdul Rahman - Gambar Fail


KOTA BHARU: Polis Kelantan telah menahan seorang pemilik kedai farmasi berusia 52 tahun bagi membantu siasatan kes rompakan menggunakan senjata api jenis M16 di sebuah kedai serbaneka di bandar Tanah Merah pada Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata lelaki itu ditahan susulan serbuan di sebuah rumah di Wakaf Baharu, Tumpat pada Isnin lepas.

Turut ditahan isteri kepada lelaki itu juga berusia 52, dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini siang tadi.

Jalaluddin berkata kes disiasat di bawah seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, seksyen 8(b) Akta Senjata Api 1960 dan seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci bagaimana suspek berkenaan boleh menyimpan banyak peluru sedangkan yang dibenarkan hanya 200 butir sahaja.

Lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam, manakala wanita dan remaja itu di reman dua hari bagi membantu siasatan.

Polis Kelantan juga akan menyiasat latar belakang semua pemilik senjata api di negeri ini yang dilesenkan bagi mengelak kejadian berulang.

Dalam kejadian 30 Dis lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan merampas selaras senjata api jenis M16 kira-kira setengah jam selepas suspek merompak kedai itu.

Ia disusuli penahanan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun pada 5 Jan yang disyaki terlibat dalam rompakan sama.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata pihaknya akan menubuhkan satu pasukan khas untuk memburu beberapa kumpulan peragut yang kini dipercayai melakukan rondaan awal menggunakan kenderaan sebelum menjalankan aktiviti jenayah mereka.

Katanya peragut berkenaan ada yang berlagak sebagai pelanggan dan memasuki kedai runcit untuk melakukan aktiviti mereka.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment