Friday 12 December 2014

Radiasi menara telekomunikasi, telefon bimbit tidak beri kesan kesihatan



Radiasi Radio Frekuensi (RF) yang dipancarkan dari menara telekomunikasi tidak berupaya mengakibatkan kesan buruk pada kesihatan. -Gambar hiasan

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya hari ini memberi jaminan kepada Dewan Undangan Negeri bahawa kesan radiasi yang dipancarkan dari menara komunikasi tidak menjejaskan kesihatan manusia.

Beliau berkata Radiasi Radio Frekuensi (RF) yang dipancarkan dari menara telekomunikasi atau telefon bimbit tidak berupaya mengakibatkan kesan kesihatan kepada manusia kerana RF yang dipancarkan tergolong dalam kategori radiasi tidak mengion (NIR).

"Ia adalah sejenis radiasi yang tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk merubah molekul-molekul dalam jirim. Justeru itu, radiasi dalam kategori NIR tidak berupaya mengakibatkan kesan kesihatan kepada manusia," katanya ketika menjawab soalan Cheong Chee Khing (DAP-Bercham) pada persidangan DUN di sini.

Beliau berkata NIR adalah berbeza dan sering dikelirukan dengan Radiasi Mengion (IR) seperti pancaran sinar X dan sinar Gamma beradioaktif yang mempunyai tenaga cukup untuk merubah molekul jirim hidup seterusnya berupaya mengakibatkan kemudaratan kepada hidupan dan manusia.

Pengukuran yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia terhadap lebih 100 buah menara dan struktur pemancar mendapati kesemuanya tidak melebihi 10 peratus had radiasi yang ditetapkan, katanya.

Shahrul Zaman berkata telekomunikasi di Malaysia adalah berdasarkan kepada had dedahan kepada masyarakat awam.

"Malaysia mengambil pakai tahap pendedahan oleh Suruhanjaya Perlindungan Sinaran Tidak Mengion Antarabangsa (ICNIRP) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan," katanya.

Beliau berkata tahap pendedahan itu turut dirujuk oleh negara seperti Australia, Singapura dan United Kingdom.

Mengenai kelulusan pembinaan struktur menara dan pemancar telekomunikasi, beliau berkata jika ia dibina sebelum kelulusan diberikan, pemiliknya boleh dikenakan denda sebanyak RM3,500 mengikut Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan menara itu perlu dirobohkan.

Mengenai desakan Cheong supaya menara telekomunikasi tidak dibina atau ditempatkan di kawasan perumahan dan rumah kedai, Shahrul Zaman berkata menara telekomunikasi sering menjadi topik kontroversi yang hangat diperkatakan.

"Bagaimanapun di mana kita perlu letakkan menara telekomunikasi ini kalau bukan di kawasan perumahan atau perniagaan, kerana pada akhirnya pengguna mahukan perkhidmatan telekomukasi yang terbaik," katanya. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment