Friday 12 December 2014

Ibu Awie meninggal dunia, teater Takhta 3 Ratu ditunda ke 14 Dis

Tarikh baru pementasan teater Takhta 3 Ratu di Istana Budaya adalah bermula pada 14 sehingga 22 Disember ini

KUALA LUMPUR: Pementasan teater Takhta 3 Ratu yang dirancang pada 13 Disember ini terpaksa ditunda sehari dipercayai bagi menghormati kematian ibu salah seorang pelakon teater tersebut.

Ibu kepada penyanyi dan pelakon Awie, Allahyarham Azizah Abdul Hamid meninggal pada usia 75 tahun akibat sakit tua.

Awie, yang sebelum ini kehilangan bapanya pada tahun 2011, menerima berita sedih tersebut hari ini.

Teater 'Takhta 3 Ratu' merupakan terbitan syarikat Awie sendiri, Awie Entertainment dengan gabungan Erra Fazira Entertainment milik Erra Fazira dan Rumah Karya Citra Sdn Bhd milik Erma Fatima.

Tarikh baru pementasan teater tersebut di Istana Budaya adalah bermula pada 14 sehingga 22 Disember ini, manakala pratonton media akan diadakan pada 15 Disember.

Selain Awie, pelakon lain yang terlibat adalah Erra, Izreen Azminda, Soo Wincci, Azri Iskandar, Remy Ishak dan Feby Febiola.

Takhta 3 Ratu mengisahkan puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Feby Febiola) yang patah hati apabila suaminya Sultan Mansur (Azri Iskandar) mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China.

Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh didapati di kaunter IB atau di laman http://www.airasiaredtix.com/

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment