Sunday 21 December 2014

Penyair Indonesia, Sitor Situmorang meninggal dunia

Sasterawan kelahiran Sumatera Utara ini (gambar) disebut oleh pengkaji sastera Indonesia, A. Teeuw sebagai penyair penting republik itu selepas Chairil Anwar. - Foto komunitasbambu.com

KUALA LUMPUR: Penyair terkenal Indonesia, Sitor Situmorang yang dikatakan sebagai sasterawan Angkatan 1945 yang terakhir meninggal dunia di Belanda, awal hari ini, lapor detik.com.

Beliau berumur 90 tahun.

Ucapan takziah terlihat pada beberapa akaun media sosial antaranya termasuk di laman Facebook Teater Koma yang dianggotai oleh seorang anak beliau.

"Turut berduka atas wafatnya Penyair Sitor Situmorang, ayahanda dari anggota kami, Logo Situmorang. Pada hari Sabtu, 20 Desember jam 9 malam waktu Belanda atau Minggu, 21 Desember jam 03.00 WIB."

Sasterawan kelahiran Sumatera Utara ini disebut oleh pengkaji sastera Indonesia, A. Teeuw sebagai penyair penting republik itu selepas Chairil Anwar.

Sehingga ini belum pasti apakah jenazahnya akan dibawa pulang untuk disemadikan di Indonesia, seperti yang pernah beliau tulis dalam sebuah puisinya bertajuk 'Tatahan Pesan Bunda'.

"Kalau merunut dalam pesannya di dalam sajak, dia ingin dikremasi dan abunya dibawa, dikubur di samping kuburan ibunya di Danau Toba. Itu keinginan dia di dalam sajak itu, kalau itu memang wasiatnya," kata budayawan JJ Rizal seperti dipetik oleh detik.com.

Sajak itu berbunyi begini:



Beliau kemudian jadi anggota Lembaga Kebudayaan Nasional yang mempunyai hubungan dekat dengan Presiden Sukarno.
Selepas Sukarno jatuh pada 1965 dan Indonesia masuk ke zaman Orde Baru di bawah pemerintahan Suharto, Sitor dipenjarakan sebagai tahanan politik. Dia tidak pernah dibicarakan di mahkamah dan hanya dibebaskan pada 1976.

Sebuah sajaknya yang cukup popular bertajuk 'Malam Lebaran'. Sajak sebaris dengan hanya empat kata itu -- Bulan di atas kuburan -- adalah antara yang paling banyak dikaji dan dibahaskan maksudnya kerana melanggar logik.

Sajak sebaris itu turut mengilhamkan pengarah filem terkemuka Indonesia, Asrul Sani untuk menggarap sebuah filem yang terbit pada 1973.

Filem dengan judul Bulan Di Atas Kuburan itu baru-baru ini dihasilkan semula dengan nafas baru dan dijadual akan ditayangkan di pawagam pada April 2015.

- Sumber: Agensi

No comments:

Post a Comment